KUALA LUMPUR: Debaran semakin dirasai menjelang pengumuman keputusan rayuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung isu dokumentasi tujuh pemain warisan Harimau Malaya.
Berdasarkan laporan sebelum ini, peguam sukan antarabangsa yang mewakili FAM, Serge Vittoz memaklumkan keputusan rayuan itu dijangka dapat diketahui pada 30 Oktober ini.
Vittoz turut memaklumkan proses rayuan ini menjadi peluang penting bagi FAM mengemukakan hujah serta dokumen tambahan bagi mempertahankan kedudukan mereka di peringkat antarabangsa.
Seluruh peminat sudah pasti mengharapkan satu keputusan yang positif dapat diperoleh daripada rayuan yang dikemukakan FAM pada 14 Oktober lalu itu.
Di sebalik harapan diletakkan itu, semua pihak juga sebenarnya harus bersedia menerima sebarang kemungkinan lain terutama sekiranya keputusan Jawatankuasa Rayuan FIFA tidak memihak kepada FAM.
Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail pada sidang media, Sabtu lalu menjangkakan FIFA tidak akan menukar keputusan mengenai kes tujuh pemain termasuk Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal serta Hector Hevel.
Tunku Mahkota Ismail turut menjangkakan bahawa hanya terdapat kemungkinan bahawa badan induk bola sepak dunia itu akan meringankan sedikit hukuman terhadap FAM dan tujuh pemain terbabit.
Malah, baginda menegaskan bahawa FAM tidak boleh berhenti sekiranya keputusan rayuan nanti tidak memihak kepada badan induk itu, sebaliknya terus berjuang termasuk membawa kes berkenaan hingga ke Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS).
Berdasarkan keputusan sebelum ini, FIFA menggantung pemain berkenaan selama 12 bulan dan denda CHF2,000 (RM10,560), manakalala FAM pula dikenakan denda sebanyak CHF350,000 (RM1.8 juta).
Seandainya rayuan FAM itu tidak diterima FIFA, semua pihak juga harus bersedia untuk menerima hukuman susulan yang lain daripada kes berkenaan termasuk pemotongan mata buat skuad kebangsaan.