sukan

Debut sulung warnai kemenangan bersejarah Harimau Malaya

Impian pemain warisan terbaharu negara, Richard Li Hua Chin, untuk menyarung jersi Malaysia akhirnya menjadi kenyataan apabila beliau diturunkan dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang Palestin di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi. Penampilan sulung Chin bukan sahaja menjadi detik peribadi yang bermakna, malah turut menyumbang kepada kemenangan bersejarah Harimau Malaya ke atas pasukan ranking ke-98 dunia itu.

Berusia 22 tahun dan kini beraksi bersama Raith Rovers FC dalam saingan divisyen kedua Liga Scotland, Chin memiliki darah Malaysia dari sebelah bapanya yang berketurunan Cina, manakala ibunya berasal dari Seychelles. Beliau sebelum ini pernah beraksi bersama Charlton Athletic, Dartford, dan Bath City, sebelum menyertai Raith Rovers musim ini.

“Harapan saya dalam lima tahun terakhir ialah bermain untuk skuad kebangsaan dan mewakili Malaysia,” kata Chin penuh emosi selepas perlawanan.

Chin dimasukkan sebagai pemain gantian pada minit ke-78, menggantikan Quentin Cheng, dan beraksi di posisi pertahanan kanan. Aksi tenang dan bertenaga yang dipamerkan menunjukkan kesediaannya untuk bersaing di pentas antarabangsa.

Perlawanan itu menyaksikan Joao Figueiredo menjaringkan gol tunggal seawal minit kedua hasil hantaran lintang Quentin Cheng, sekali gus menghadiahkan kemenangan 1-0 buat Malaysia. Kemenangan ini amat bermakna kerana ia merupakan kejayaan pertama Harimau Malaya ke atas Palestin sejak tahun 2001, sekali gus menamatkan penantian selama 24 tahun.

“Satu lagi kemenangan untuk Malaysia dan Richard Chin membuat penampilan pertama. Satu detik yang hebat, tahniah Chinny,” tulis Raith Rovers di laman X sebagai tanda sokongan kepada pemain mereka.

Kemenangan ini juga menjadi penebus maruah selepas kekalahan memalukan 6-0 kepada Palestin dalam kelayakan Piala Dunia 2018 pada tahun 2015.

Di bawah kendalian Peter Cklamovski, skuad Harimau Malaya kini menunjukkan prestasi konsisten dengan tiga kemenangan dan satu seri sejak Jun. Penampilan Chin membuka lembaran baharu buat pemain warisan Malaysia yang beraksi di luar negara, menandakan keterbukaan FAM terhadap bakat diaspora.

Dengan kelayakan Piala Asia dan Piala Dunia semakin hampir, Chin dijangka menjadi antara pemain yang akan terus diberi peluang untuk membina keserasian dan menyumbang kepada kekuatan skuad kebangsaan.