PEMAIN pertahanan warisan Harimau Malaya, Jon Irazabal sah tidak akan menyambung kontrak bersama kelab Liga Azerbaijan, Sabah FK musim depan.
Perpisahan itu diumumkan secara rasmi oleh kelab berkenaan menerusi satu hantaran di media sosial, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai destinasi seterusnya buat Irazabal yang masih belum mengumumkan pasukan baharu.
Ketika ini, peminat mula mengaitkan nama pemain berusia 28 tahun dengan juara Liga Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang sedang giat memperkukuh skuad menjelang musim baharu.
Keputusan yang bakal diambil oleh Irazabal pastinya akan menjadi penentu utama bagi perjalanan kariernya, sama ada beliau memilih untuk terus beraksi di luar negara atau mengikuti jejak langkah pemain warisan seperti Hector Hevel yang dikhabarkan akan menyertai JDT.
Walaupun Irazabal belum mengumumkan keputusan muktamad, terdapat segelintir peminat bola sepak tanah air yang sudah mula memperdebatkan mengenai masa depan pemain ini.
Ada yang berharap agar beliau memilih untuk kekal beraksi di luar negara, bagi memastikan tahap prestasinya kekal pada tahap tertinggi dan seterusnya memberi impak besar kepada Harimau Malaya.
Bagi pemerhati bola sepak negara, Datuk Pekan Ramli, ia terpulang kepada Irazabal kerana tindakan kekal di luar negara boleh membantu mengekalkan tahap permainan pada standard tertinggi.
Namun begitu, beliau tidak menolak bahawa menyertai JDT juga satu langkah positif, memandangkan kelab itu antara yang terbaik di rantau Asia.
“Jika ada tawaran daripada kelab yang lebih baik atau setara, eloklah dia terus bermain di luar negara.
sumber:- SH
“Tetapi kalau pilih JDT seperti Hevel, itu juga bukan masalah kerana JDT juga salah sebuah pasukan terbaik di Asia,” katanya.