Kuala Lumpur: Pertahanan Cerezo Osaka yang juga pemain warisan negara, Dion Cools sekali lagi bakal memimpin skuad Harimau Malaya menjelang aksi Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), pada 18 November ini.
Menerusi senarai 27 pemain yang dipanggil oleh pengendali kebangsaan, Peter Cklamovski itu, pengalaman Cools terus dituntut dalam misi memburu kemenangan kelima berturut-turut Kumpulan F itu.
Cools, 29, yang sudah membuat 37 penampilan dengan merekodkan enam gol di pentas antarabangsa akan memulakan latihan dengan rakan sepasukan lain bermula Isnin depan.
Selain Cools, Cklamovski buat pertama kali membawa masuk seorang muka baharu iaitu Ryan Lambert bagi mengukuhkan jentera tengah pasukan negara dalam aksi itu nanti.
Malah, kudrat tonggak pertahanan kanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Matthew Davies turut disenaraikan semula selepas pemain berdarah Malaysia-Australia itu pulih daripada kecederaan sebelum ini.
Tonggak muda negara dari pasukan Selangor FC, Aliff Izwan Yuslan juga dipanggil buat pertama kali oleh kem skuad senior negara.
“Cklamovski telah mengekalkan seramai 24 pemain dari skuad menentang Laos bagi aksi Kelayakan Piala Asia 2027 pada 9 dan 14 Oktober lalu dan membawa masuk seorang lagi pemain dari skuad B-23 tahun iaitu Aliff Izwan Yuslan selain daripada Muhammad Ubaidullah Shamsul.
“Cklamovski juga memanggil kembali Matthew Davies yang telah pulih daripada kecederaan serta membawa masuk seorang muka baharu iaitu Ryan Lambert,” kata kenyataan yang dikeluarkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini.
Ketika ini, skuad negara memimpin carta Kumpulan F dengan mengumpul 12 mata maksimum daripada empat aksi dilalui setakat ini.
Kedudukan itu cukup sempurna dalam misi untuk melayakkan diri secara automatik ke Piala Asia 2027 di Arab Saudi, di mana hanya juara kumpulan sahaja akan meraih tiket itu.
Senarai 27 Pemain Skuad Harimau Malaya
Ahmad Syihan Hazmi (JDT) (Penjaga Gol)
Arif Aiman Hanapi (JDT)
Corbin Ong (JDT)
Matthew Davies (JDT)
Nazmi Faiz Mansor (JDT)
Junior Eldstal (JDT)
Harith Haiqal (SELANGOR FC)
Faisal Abdul Halim (SELANGOR FC)
Aliff Izwan Yuslan (SELANGOR FC)
Nooa Laine (SELANGOR FC)
Quentin Cheng (SELANGOR FC)
Sikh Izhan Nazrel (SELANGOR) (Penjaga Gol)
Declan Lambert (KL CITY)
Safawi Rasid (KL CITY)
Paulo Josue (KL CITY)
Ryan Lambert (KL CITY)
Haziq Nadzli (KUCHING CITY) (Penjaga Gol)
Ramadhan Saifullah (KUCHING CITY)
Jordan Mintah (KUCHING CITY)
Daniel Ting (SABAH FC)
Dominic Tan (SABAH FC)
Stuart Wilkin (SABAH FC)
Azam Azmi Murad (TERENGGANU FC)
Ubaidullah Shamsul Fazili (TERENGGANU FC)
Dion Cools (CEREZO OSAKA)
Endrick Dos Santos (HO CHI MINH CITY POLICE)
Sergio Aguero (KANCHANABURI POWER)