KUALA LUMPUR: Kapten skuad kebangsaan, Dion Cools menegaskan bahawa Harimau Malaya tidak boleh memandang mudah keupayaan Nepal walaupun skuad The Gorkhalis itu hadir sebagai pasukan bukan pilihan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam esok.
Nepal berdepan beberapa isu termasuk membabitkan liga di negara mereka selain terpaksa menggunakan gelanggang lawan sebagai venue mereka bagi aksi tempat sendiri dan skuad kendalian Hari Khadka juga tewas semua empat perlawanan dalam Kumpulan F sebelum ini.
Cools bagaimanapun menjelaskan semua isu yang dihadapi Nepal tidak memberi jalan mudah untuk Harimau Malaya meraih kemenangan, sebaliknya semua pemain harus bersedia dengan cabaran bakal diberikan anak buah Khadka.
Beliau berkata, barisan pemain Harimau Malaya perlu menampilkan persembahan terbaik dengan corak permainan agresif dan pantas bagi meneruskan memontum kemenangan.
“Kami sentiasa perlu menghormati lawan kami. Jadi, tidak kira apa yang berlaku kepada mereka, kami perlu bersedia untuk apa sahaja yang bakal kami hadapi.
“Sebagai satu pasukan, kami hanya perlu bersabar, bermain bola sepak yang pantas dan kekal positif. Kami tahu peluang akan datang dan gol juga akan datang. Jadi, kami perlu lebih tajam, agresif dan cuba bermain dengan pantas,” katanya.
Atas kertas, Malaysia yang berada di ranking 118 dunia tampak memiliki kelebihan besar untuk memenangi perlawanan itu jika dibandingkan dengan Nepal yang menghuni tangga ke-180 dunia.
Malah, berdasarkan rekod pertemuan, Harimau Malaya tidak pernah tewas kepada Nepal sejak 1983 dengan pertemuan terakhir kedua-dua pasukan pada aksi pembukaan Kumpulan F di Stadium Sultan Ibrahim, 25 Mac lalu juga skuad negara menang 2-0.