PENGENDALI skuad bola sepak Bawah 23 Tahun (B-23) negara, Nafuzi Zain optimis pemain-pemain mampu menterjemahkan falsafah permainan yang diterapkan untuk mengharungi cabaran Piala ASEAN B-23 2025 di Indonesia bermula Selasa.
Malah Nafuzi meletakkan fokus utama kepada proses pembinaan pasukan dan penyerapan corak permainan yang disifatkan menunjukkan perkembangan yang sangat positif.
“Daripada tiga aksi persahabatan, kita catat dua kemenangan dan satu kekalahan. Namun kita tidak mengejar keputusan semata-mata.
“Kita masih dalam fasa untuk membina pasukan, meningkatkan kecergasan dan mencari kombinasi terbaik. Saya sangat positif dan gembira dengan komitmen yang pemain berikan,” katanya.
Skuad Harimau Muda itu menang 1-0 ke atas PDRM FC dan mengatasi Melaka FC 4-1 sebelum tumpas 0-1 kepada Negeri Sembilan FC.
Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama tuan rumah Indonesia, Filipina dan Brunei dalam saingan di Jakarta dari 15 hingga 29 Julai ini.
Mengulas mengenai identiti permainannya, Nafuzi mengakui perlu ada sedikit penyesuaian memandangkan skuad itu dibarisi pemain muda dengan tempoh persiapan yang singkat.
“Memang dari segi falsafah itu adalah cara saya, tetapi mungkin ada sedikit perubahan.
“Bagaimanapun, apa yang saya inginkan, pemain menunjukkan mereka faham apa yang perlu dilakukan. Mereka dapat mengikuti percaturan dan corak persembahan yang dimahukan, jadi saya rasa itu sangat positif,”ujarnya.
Taktikal permainan yang diterapkan bekas jurulatih Terengganu FC dan Kedah Darul Aman FC itu menjurus kepada hantaran pendek, mengawal permainan dan meminimumkan kehilangan bola.
Sementara itu, Nafuzi mengakui maklumat mengenai Filipina, pasukan lawan pertama Harimau Muda adalah terhad.
Biarpun begitu jelasnya, fokus utama adalah persiapan pasukan sendiri berbanding terlalu memikirkan kekuatan lawan.
Malaysia akan memulakan kempen menentang Filipina pada 15 Julai, diikuti perlawanan menentang Brunei pada 18 Julai sebelum melengkapkan aksi kumpulan berdepan Indonesia pada 21 Julai.
sumber:- SH
Dua pasukan teratas setiap kumpulan akan mara ke separuh akhir yang dijadual pada 25 Julai, manakala perlawanan penentuan tempat ketiga serta final akan berlangsung pada 29 Julai.