sukan

Dollah dedah masalah yang paling ketara dalam pasukan KL City

Kuala Lumpur City (KL City) mara ke suku akhir Piala FA, namun jurulatihnya, Datuk Dollah Salleh mengakui masih banyak perkara perlu diperbaiki terutama di bahagian serangan.

KL City mengesahkan tiket ke suku akhir selepas mencatat keputusan seri 0-0 dengan Perak pada aksi kedua di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, semalam, sekali gus mara dengan agregat 1-0.

Dollah berkata, persembahan anak buahnya kali ini tidak seperti yang diharapkan berbanding aksi sebelum ini ketika menentang Kelantan.

“Memang kita tidak bermain begitu baik seperti apa yang saya harapkan. Cuma keputusan seri itu melayakkan kita ke suku akhir.

“Apa sekalipun, banyak yang perlu diperbetulkan. Kalau dibandingkan dengan perlawanan sebelum ini ketika kita lawan Kelantan, kita bermain dengan baik,” katanya.

Menurutnya, kelemahan paling ketara adalah di bahagian serangan apabila pasukannya masih terlalu bergantung kepada Paulo Josue untuk menghasilkan jaringan.

“Hari ini nampak macam kita masih mengharapkan Paulo Josue untuk menjaringkan gol. Itu yang jadi ketara di bahagian serangan KL City.

“Selama beberapa perlawanan memang kita mengharapkan Paulo untuk menjaringkan gol. Sebelum perlawanan pun saya sudah cakap, dalam perlawanan ini bukan hanya seorang saja yang perlu menjaringkan gol,” katanya.

Dollah berkata, semua pemain perlu memainkan peranan dalam usaha menghasilkan jaringan dan tidak boleh meletakkan tanggungjawab itu kepada seorang pemain semata-mata.

“Dalam pasukan, kalau boleh penjaga gol pun nak menjaringkan gol. Kalau boleh jaring, jaring. Tapi kalau kita harap seorang, susah.

“Kita masih tercari-cari rentak di bahagian serangan untuk mendapatkan gol dan pada masa sama tidak melepaskan banyak peluang. Harapnya macam itulah,” katanya.

Kejayaan mara ke suku akhir sedikit sebanyak memberi kelegaan buat KL City, namun Dollah sedar jentera serangan perlu segera diperbaiki jika mahu pasukannya pergi lebih jauh dalam saingan Piala FA.