Kuala Lumpur: Kongres pemilihan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang berlangsung bulan depan sudah pastinya menampilkan elemen kejutan apabila dikhabarkan tiga bekas pemain kebangsaan bakal membuat kemunculan untuk merebut jawatan yang dipertandingkan kelak.
Menurut sumber Arena Metro memaklumkan bahawa Datuk Dollah Salleh bakal membuat kemunculan dengan merebut jawatan Naib Presiden FAM.
Beliau berkata, turut akan mengikut jejak langkah itu adalah rakan karibnya Datuk Zainal Abidin Hassan yang mungkin dicalonkan sebagai Exco badan induk bola sepak negara itu.
“Dua nama berkenaan adalah mewakili kem Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub yang akan bertanding untuk jawatan Presiden FAM.
“Setakat ini, dua nama itu berada dalam senarai untuk bertanding bagi merebut jawatan pada pemilihan nanti. Dikatakan, senarai itu sudah muktamad dan borang pencalonan akan diserahkan dalam tempoh terdekat ini,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro.
Selain itu, sumber juga memaklumkan bahawa seorang lagi bekas pemain bola sepak kebangsaan, Datuk Ramlan Askolani turut berada dalam senarai pencalonan bagi merebut jawatan dalam FAM.
“Ramlan mewakili kem satu lagi dan namanya disenaraikan untuk merebut jawatan Exco. Namun, mungkin ada perubahan kerana masih ada waktu lagi untuk melakukan perubahan.
“Sebelum ini, Ramlan memenangi jawatan sebagai Naib Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA). Situasi itu sudah pasti menambah keyakinan untuk bertanding di Kelana Jaya,” katanya.
Jika ketiga-tiga calon berkenaan bertanding sudah pastinya akan mewarnai kongres pemilihan FAM pada 15 Febuari ini yang dijangka akan panas apabila jawatan Presiden menjadi rebutan.
sumber:-HM
Malah, kehadiran bekas pemain itu sudah pastinya dapat membantu dalam meningkatkan lagi kualiti bola sepak negara ke tahap tertinggi.