sukan

DPMM FC sedia cabar JDT, Selangor

JOHOR BAHRU: Kelab Brunei, Duli Pengiran Muda Mahkota (DPMM) FC yang akan beraksi dalam saingan Liga Super semula musim 2025/26 selepas 17 tahun menyepi mensasarkan untuk menduduki kelompok enam terbaik.

Pengurus Besar DPMM FC, Md Ali Momin berkata, sasaran berkenaan tampak realistik dan sedang berusaha bagi memperkasakan pasukan menjelang saingan yang bermula Ogos depan.

“Untuk menyaingi kehebatan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC, insya-Allah kami akan cuba memberi saingan tetapi tidak dinafikan musim pertama mungkin kami akan bergelut sedikit.

“Bagi kuota pemain import kami merancang menandatangani tujuh pemain import dan lebih menarik apabila Liga Bolasepak Malaysia (MFL) membenarkan kami mendapatkan khidmat pemain dari Malaysia dan ia berstatus pemain tempatan.

“Ini memberi ruang buat kami mengenal pasti pemain kelab dari Malaysia untuk mengisi posisi yang kami sasarkan dan kami sudah menandatangani Fairuz Zakaria dan sedang berbincang dengan Terengganu FC bagi mendapatkan khidmat Akhyar Rashid namun ia masih dalam perbincangan awal dan belum ada kata putus.

“Kami juga sedang berusaha mendapatkan penjaring terbanyak Liga S, Tomoyuki Doi dari Geylang International FC tapi saya tidak boleh memberi pengesahan kerana perbincangan masih dalam proses dan ketika ini pemain import dari Latvia, Davis Ikaunieks dan pemain Indonesia, Ramadhan Sananta sudah tandatangani kontrak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Menandatangani Perjanjian Penyertaan Kelab Bolasepak DPMM ke Liga Super musim 2026-2028.

Mengulas lebih lanjut mengenai penyertaan mereka, Md Ali enggan mendedahkan kos perbelanjaan, sebaliknya mengesahkan semuanya berpandu kepada Financial Fair Play (FFP) yang diperkenalkan MLF.

sumber:- BH

Beliau juga menyatakan ramai peminat di Brunei lebih berminat untuk menyaksikan pasukan itu bersaing dalam Liga Malaysia berbanding Liga Singapura.