ALOR SETAR: DSAT Group yang kini sedang menanti lampu hijau untuk memilki Kedah Darul Aman FC (KDA FC), difahamkan turut mengintai peluang mengambil alih skuad Liga Super Sabah FC pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan DSAT Group, Datuk Seri Azizul Tandek di laman sosialnya semalam menyatakan Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) bakal membawa cadangan pemilikian kelab itu ke peringkat tertinggi iaitu Ketua Menteri Sabah.
“DSAT buat kerja di Sabah, dapat berita gembira bahawa DSAT GROUP ditawarkan untuk ambil alih Sabah FC. Terima kasih YB Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Presiden SAFA, Datuk Ir Shahelmey Yahya kerana bersetuju menawarkan kepada DSAT GROUP untuk mengambil alih SABAH FC dan DSAT juga difahamkan tawaran ini telah dimaklumkan kepada YAB Ketua Menteri Sabah.
“DSAT Group berbesar hati dan mengalu-alukan tawaran berkenaan, DSAT akan menerima tawaran daripada SAFA yang juga pemegang taruh 100 peratus SABAH FC sekiranya ianya benar diberikan kepada DSAT Group,” katanya.
Katanya, DSAT sudah mengarahkan anak syarikatnya menerusi Ketua Pegawai Eksekutif, Bumi Handal Sdn Bhd iaitu Datuk Seri Mohd Jaffry Rosman dan Saudara Adrian untuk ‘follow-up’ surat tawaran daripada SAFA dalam masa terdekat.
DSAT Group Sdn Bhd menerusi anak syarikatnya, Mahsuri Medical Centre (MMC) yang berpangkalan di Jitra, juga sudah mengemukakan cadangan melalui surat bertarikh 3 November 2024 lalu untuk memiliki kepentingan dalam KDA FC yang kini sedang dilanda masalah kewangan.
“Alhamdulillah…Di samping DSAT menunggu ingin memiliki KDA FC dari tahun lalu dengan menerima tawaran pada 29 September 2023 dan kemudian dibatalkan tawaran itu pada 12 Oktober 2023 oleh Tan Sri Daud Bakar, sekarang menunggu ‘respond’ dari KDA FC yang belum ada khabar, Allah turunkan rezeki juga dengan berita dan tawaran daripada pasukan yang Lebih baik ditambah dengan pasukan negeri sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, Azizul turut memaklumkan KDA FC masih membisu dalam tawaran yang beliau kemukakan.
sumber:-BH
Difahamkan MMC kini mengambil langkah tunggu dan lihat atas maklum balas KDA FC dalam tempoh tujuh hari seperti yang dinyatakan dalam surat tawaran berkenaan.