KUALA LUMPUR: Dua aksi Liga Super yang boleh dianggap berstatus ‘heavyweight’ membabitkan pertembungan Kedah Darul Aman (KDA) menentang Terengganu FC (TFC) dan Perak berdepan Sabah akan berlangsung esok
Kedua-dua aksi itu akan berlangsung di utara dengan KDA melayan kunjungan TFC di Stadium Darul Aman manakala Perak menanti Sabah di Stadium Majlis Perbandaran Manjung.
KDA yang sebelum ini terpalit isu tunggakan gaji dijangka tampil dengan lebih bersemangat selepas kerajaan negeri menyatakan hasrat untuk mempertimbangkan bantuan bagi membantu kewangan pasukan itu.
Bagaimanapun, apa yang merisaukan skuad kendalian Nafuzi Zain ketika ini adalah mengenai ‘aura’ penyokong atau pemain ke-12 mereka bagi aksi getir itu.
Ia susulan setakat pagi tadi, KDA FC menerusi laman Faceook mereka memaklumkan hanya 166 tiket terjual dan ia jauh dari sasaran kelab itu yang mahu 10,000 penyokong hadir Stadium Darul Aman.
Seandainya situasi itu kekal, Sang Kenari mungkin akan sedikit kehilangan kelebihan mereka beraksi di halaman sendiri dengan pemburuan tiga mata menjadi fokus utama anak buah Nafuzi.
TFC pula akan hadir dengan misi besar untuk menamatkan prestasi kurang baik mereka apabila tidak meraih kemenangan dalam enam perlawanan terakhir selepas menewaskan Kuala Lumpur (KL) City 2-0 pada 10 Ogos lalu.
Pasukan tangga keempat, Perak pula bakal berdepan suasana berbeza berbanding sebelum ini apabila terpaksa berpindah ‘rumah’ ke Stadium Majlis Perbandaran Manjung selepas Stadium Perak, Ipoh menjalani proses naik taraf.
Berdasarkan keputusan yang diraih sebelum rehat antarabangsa, skuad kendalian Yusri Che Lah itu berada pada prestasi terbaik apabila merekodkan tiga kemenangan berturut-turut termasuk menewaskan Negeri Sembilan (1-0), KL City (1-0) dan Sri Pahang (3-0).
Skuad Bos Gaurus bagaimanapun diramal akan berdepan tugas sukar menentang Sabah yang ketika ini sedang berusaha untuk keluar daripada prestasi kurang baik.
Anak buah Datuk Ong Kim Swee tidak memenangi tiga aksi terakhir mereka dalam liga apabila tunduk 1-2 kepada Selangor, terikat 1-1 dengan TFC dan dikejutkan pasukan kerdil, PDRM 1-0.
Satu lagi aksi Liga Super bakal menemukan naib juara Piala FA, Selangor yang akan menentang PDRM di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.
Atas kertas, Selangor yang dibimbing Nafuzi Zain dijangka tidak berdepan masalah untuk meraih kemenangan dengan mereka memerlukan tiga mata untuk terus mengejar pendahulu, Johor Darul Ta’zim (JDT).
Liga Super
Esok
Perak mln Sabah, 5 ptg
PDRM mln Selangor, 9 mlm
Kedah mln TFC, 9 mlm
Ahad
Kuching City mln NSFC, 7.30 mlm
Penang mln Pahang, 8.15 mlm
sumber:-BH