sukan

Dua “gergasi’ Pantai Timur bakal berentap di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin

KUALA TERENGGANU: Pertemuan tetangga antara Terengganu FC (TFC) dan Kelantan The Real Warriors (TRW) FC dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam esok pastinya menjanjikan pertembungan menarik.

Selain masing-masing memburu tiga mata, dua pasukan berjiran itu pastinya mahu dilabel ‘gergasi’ Pantai Timur selepas sebuah lagi kelab, Sri Pahang FC menarik diri daripada bersaing dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Pengendali TFC, Badrul Afzan Razali menegaskan skuad bimbingannya perlu memperkemaskan lagi corak permainan bagi memastikan misi untuk bangkit menjadi kenyataan.

Jelas jurulatih kelahiran Kemaman itu, hanya kemenangan mampu mengembalikan semula keyakinan pasukan serta penyokong bagi memastikan skuad itu tidak tergelincir di kedudukan lebih bawah dalam saingan liga.

“Beraksi di tempat sendiri sudah pastinya kami mahu mengutip tiga mata lebih-lebih lagi selepas pulang tanpa sebarang mata ketika berdepan dengan Kuala Lumpur City FC minggu lalu.

“Selain itu kemenangan juga pastinya soal maruah pasukan kerana skuad dari Pantai Timur kini hanya tinggal dua pasukan sahaja, harap pemain beraksi baik sehingga minit terakhir perlawanan,” kata Badrul.

Ketika ditanya ketiadaan pemain lincah, Akhyar Rashid yang masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan buku lali, jurulatih berusia 49 tahun itu tidak begitu risau.

Katanya, selain kehadiran pemain import baharu dari Myanmar, Kyaw Min Oo yang bakal membuat penampilan pertamanya, pemain lain juga sudah bersedia sepenuhnya.

“Setakat ini hanya Akhyar seorang sahaja tidak dapat beraksi manakala pemain lain berada dalam keadaan bersedia untuk diturunkan menentang pasukan jiran itu.

“Kehadiran Min Oo sudah pasti bakal menambah kekuatan pasukan, namun saya belum membuat keputusan muktamad lagi sama ada dia disenaraikan ataupun sebaliknya kerana baharu bersama pasukan,” katanya.