sukan

Dua kelab gergasi dunia sedia terima Mainoo

MANCHESTER: Pemain tengah Manchester United, Kobbie Mainoo mungkin akan meninggalkan kelab sekiranya tuntutan kenaikan gaji tidak dipenuhi.

Mainoo – yang kontraknya bernilai 20,000 pound (RM109,882) seminggu berakhir pada tahun 2027 – berharap dapat menandatangani kontrak baharu bernilai 200,000 pound (RM1.1 juta) seminggu.

Namun United belum bersedia menaikkan bayarannya setinggi itu, sekali gus mendorong Mainoo untuk meninggalkan kelab pada jendela perpindahan bulan ini atau musim panas akan datang.

Chelsea antara pasukan yang sedia menerima pemain tengah itu, dan gergasi Jerman, Bayern juga merancang untuk mendapatkan khidmatnya.

Sebelum ini pengendali United, Ruben Amorim mencabar Mainoo untuk membuktikan yang dia layak menyertai senarai pemain dengan gaji tertinggi di Old Trafford.

Walaupun menunjukkan peningkatan ketara, bintang England itu antara pemain yang dibayar paling rendah dalam skuad United.

“Kobbie menunjukkan peningkatan dalam beberapa perlawanan lalu. Anda semua merasakan dia sudah sempurna, tetapi sebenarnya belum.

“Dia sangat bagus tetapi boleh menjadi lebih baik lagi. Potensinya cukup besar untuk terus berkembang,” kata Amorim. – AGENSI