KUALA LUMPUR: “Dua mata terakhir itu adalah kesilapan daripada saya.”
Itu pengakuan jujur pemain beregu wanita negara, Pearly Tan selepas dia dan pasangannya M Thinaah, terpaksa akur dengan gelaran naib juara Terbuka Indonesia 2025 apabila tewas dalam aksi final mendebarkan kepada pasangan nombor satu dunia dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning, hari ini.
Perlawanan yang berlangsung selama 86 minit di Istora Senayan itu menyaksikan Pearly-Thinaah tewas 25-23, 12-21, 19-21, sekali gus gagal untuk menjulang trofi sulung kejohanan Super 1000 dalam karier mereka.
Pearly mengakui dia gagal mengekalkan ketenangan ketika aksi berada di kedudukan genting 19-19 dalam set penentuan, sekali gus menyebabkan mereka keciciran dua mata penting.
“Sedikit kecewa sebab dua mata terakhir adalah kesilapan daripada saya. Dari awal saya sudah ingatkan diri untuk bertenang tapi pada mata ke-19 dan ke-20, saya jadi agak gopoh.
“Saya tahu ini satu aspek yang perlu saya belajar dari semasa ke semasa. Saya perlukan masa dan harap dapat jadi lebih baik selepas ini,” kata Pearly kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) sejurus tamat perlawanan.
Beregu negara memulakan perlawanan dengan semangat juang luar biasa apabila bangkit daripada ketinggalan 7-14 untuk menang set pertama 25-23.
Namun, momentum itu tidak kekal apabila mereka tewas mudah 12-21 di set kedua.
Set ketiga menyaksikan Pearly–Thinaah mendahului sehingga 13-11 dan terus memberi saingan sengit sehingga kedudukan 19-19, namun dua mata terakhir berpihak kepada pasangan China dan menurut Pearly, faktor ketenangan menjadi pemisah.
“Kami berdua memang penat, tapi itu bukan alasan. Pada akhirnya, semuanya tentang ketenangan dan kekuatan mental. Saya rasa mereka lebih tenang daripada kami,” katanya.
Bagi Thinaah pula, dia lebih memilih untuk melihat sisi positif, terutama semangat kerjasama antara mereka sepanjang perlawanan berlangsung.
“Saya rasa kekuatan kami hari ini adalah sokongan antara satu sama lain. Tak kira ketika mendahului atau ketinggalan, kami saling menyokong dan memberi semangat. Itu yang bantu kami terus bertahan,” katanya.
Kekalahan ini menyaksikan kemarau kejuaraan beregu wanita Malaysia di Terbuka Indonesia berterusan sejak kali terakhir dijulang Chin Ee Hui-Wong Pei Tty pada 2009.
Namun, kempen empat minggu Pearly-Thinaah tetap boleh dianggap membanggakan apabila mereka muncul juara Terbuka Thailand, separuh akhir Masters Malaysia, suku akhir Terbuka Singapura dan kini naib juara di Terbuka Indonesia.
sumber:- stadium astro
Mereka membawa pulang hadiah wang tunai AS$50,750 (RM214,574), manakala gandingan China membawa pulang AS$107,300 (RM453,671).