sukan

Dua pasukan diberitalian hayat sehingga 30 Mac -MFL

KUALA LUMPUR: Tiada istilah Liga Bolasepak Malaysia (MFL) ‘memberi muka’ kepada Kedah Darul Aman (KDA) FC dan KL City FC selepas dua pasukan itu diberi ‘talian hayat’ sehingga 30 Mac ini bagi menyelesaikan tunggakan gaji yang dihadapi mereka.

Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan menegaskan langkah itu diambil selepas badan pengendali itu mendapati dua pasukan terbabit memiliki komitmen dan keupayaan untuk menyelesaikan isu dihadapi berdasarkan dokumen dihantar kepada MFL.

Malah, Ab Ghani juga menjelaskan MFL tidak pernah ‘berlembut’ dalam isu tunggakan gaji yang dilihat menjadi satu perkara yang serius terutama selepas mengambil kira beberapa pasukan sudahpun ‘ditendang keluar’ daripada saingan Liga Malaysia (Liga M) sebelum ini.

“Kita ikut apa yang kita perhatikan kerana kadang-kadang kita memerhati daripada cakap-cakap sahaja tetapi kita suruh mereka hantar dokumen. Dengan berpandukan itu, kita mengambil langkah seterusnya seperti yang dinyatakan dalam kenyataan akhbar hari ini (semalam).

“Jadi MFL tidak berlembut kerana banyak pasukan sudah keluar seperti Sarawak United dan Kelantan FC. Kita perlu pastikan liga ini kompetitif dan dihormati.

“Malah Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin pun menyatakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) memerhatikan apa yang berlaku dengan isu ini.

“MFL mengambil langkah tertentu untuk memastikan ia tidak berlaku lebih teruk lagi dan membantu pasukan supaya isu ini dapat diatasi negara,” kata Ghani pada sidang media selepas Majlis Berbuka Puasa MFL bersama Media di Subang Jaya, semalam.

Terdahulu, KDA FC dan KL City FC bakal berdepan pemotongan tiga mata dalam Liga Super selain denda sebanyak RM50,000 sekiranya gagal menyelesaikan jumlah tunggakan gaji yang sedang dihadapi pasukan masing-masing pada tarikh kedua, 30 Mac ini.

Ini selepas kedua-dua pasukan itu gagal membuat bayaran 50 peratus jumlah tunggakan gaji bagi tahun 2023 pada tarikh pertama, 15 Mac 2024 seperti yang ditetapkan First Instance Body (FIB) sebelum ini.

sumber:-BH

“FIB juga akan menilai semula status lesen kelab terbabit jika tidak mematuhi tarikh akhir kedua pembayaran tunggakan gaji serta tidak memiliki kewangan kukuh untuk terus bersaing dalam musim Liga Malaysia (Liga M) yang akan datang,” kata Pengerusi FIB, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif.