sukan

Dua pasukan gergasi Liga Malaysia dijangka menang besar

KUALA LUMPUR: Selepas dua minggu aksi Liga Super, pasukan kini akan bertukar ‘medan pertempuran’ dengan aksi pusingan 16 pertama Piala FA akan bermula dengan tekanan tinggi apabila empat perlawanan pertama membentangkan nasib berbeza buat setiap pasukan.

Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) turun tanpa sebarang belas kasihan di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), petang esok apabila dijadualkan bertemu semula dengan pasukan dari Liga A1 Semi-Pro, UM-Damansara United.

Kedua-dua pasukan pernah bertemu di peringkat yang sama pada musim lalu yang menyaksikan skuad Harimau Selatan mencatatkan kemenangan agregat besar 10-3.

Tiada apa yang boleh diharapkan untuk melihat kejutan apabila JDT ketika ini berada pada prestasi puncak selepas meledak 19 gol dalam tiga aksi pertama Liga Super sekali gus menjadi laluan mudah mengesahkan tempat ke suku akhir tanpa berdepan masalah besar.

Sementara itu, pertembungan DPMM FC dan Terengganu FC (TFC) di Stadium Negara Hassanal Bolkiah menjadi medan terbaharu untuk dua pasukan yang masih tercari-cari rentak musim ini.

Kedua-dua pasukan mencatat pencapaian yang sama dalam dua aksi pertama Liga Super apabila mencatatkan satu kemenangan dan satu kekalahan.

DPMM FC berdepan krisis jentera serangan apabila hanya mampu meledak satu gol dan bolos satu gol setakat ini, manakala TFC meledak tiga gol namun sektor pertahanan mereka kelihatan rapuh selepas turut melepaskan tiga gol.

Bagi satu lagi pertembungan di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, petang esok, pertemuan Perak FA dan KL City FC pula membawa memori pertembungan pusingan 16 Piala Malaysia musim lalu.

Perak FA pernah mengejutkan KL City FC 2-0 pada aksi pertama di venue sama sebelum KL City FC bangkit menang 3-2 menerusi masa tambahan pada aksi di laman sendiri, jadi anak buah Datuk Dollah Salleh perlu berwaspada agar tidak terkena kejutan lagi.

Bagi aksi keempat malam esok, Kuching City FC (KCFC) dijangka mendapat laluan mudah ke suku akhir berdepan KRW FC yang masih berdepan masalah pendaftaran pemain selepas baru menewaskan lawan yang sama 5-0 Sabtu lalu dalam saingan Liga Super.

Jurang kualiti yang ketara serta krisis dalaman lawan dijangka terus meletakkan naib juara Liga Super musim lalu itu sebagai pilihan mutlak untuk melangkah selesa ke pusingan seterusnya.

Piala FA

Aksi Pertama Pusingan 16

ESOK

Perak mln KL City, 5 ptg

UM-Damansara United mln JDT, 5 ptg

DPMM mln TFC, 8.15 mlm

KRW mln Kuching City, 9 mlm

RABU

Sabah mln Selangor, 7.30 mlm

Melaka mln Penang, 8 mlm

Kedah mln Star City, 9 mlm

Wan Tendong Stable mln NSFC, 9 mlm