KUALA LUMPUR: Dua pemain warisan berketurunan Malaysia-Amerika Syarikat (AS) bakal memperkuatkan skuad Malayan Tigress Bawah 20 (B-20) untuk Kelayakan Piala Asia B-20 Wanita 2026 dan akan menyertai kem latihan pusat bermula 20 Julai ini.
Menurut Exco Wanita Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Dr. Siti Faidul Maisarah Abdullah, hanya dua daripada tiga pemain warisan disenaraikan sebelum ini disahkan bakal menyertai pasukan, manakala seorang lagi masih belum melengkapkan dokumentasi.
“Daripada tiga nama disenaraikan, dua sudah disahkan akan bersama kita. Seorang lagi, Mia Wetzel, masih menunggu dokumentasi lengkap untuk didaftarkan secara rasmi.
“Mungkin dia boleh sertai kita dalam kejohanan akan datang, tetapi untuk kejohanan kali ini, hanya dua akan bersama skuad,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Dua pemain terbabit adalah Sofia Lacasse dan Tegen Butler yang mempunyai ibu berwarganegara Malaysia dan dipantau prestasi mereka sepanjang kem latihan nanti, malah dijangka mampu memberi nafas baharu kepada skuad wanita muda negara.
“Kita belum lihat sepenuhnya prestasi mereka, tapi menerusi sesi latihan nanti kita akan nilai sama ada mereka boleh menyamai tahap pemain nasional sedia ada atau sebaliknya,” katanya.
Penyertaan dua pemain warisan dari AS ini diharap dapat menyuntik semangat baharu dan membawa dimensi berbeza kepada pasukan menjelang kejohanan penting akan datang.
Sementara itu, mengulas lanjut mengenai prestasi skuad Malayan Tigress B-15 yang sudah beraksi dalam siri perlawanan persahabatan di Sydney, Dr. Maisarah menyifatkan penyertaan itu sebagai platform penting dalam pembangunan pemain muda.
“Ini bukan semata-mata tentang keputusan perlawanan, tetapi lebih kepada pendedahan dan pembentukan jati diri serta semangat juang pemain. Kita tidak mahu mereka hanya biasa beraksi dalam perlawanan dalaman atau tempatan sahaja.
“Bila bertemu pasukan luar negara, ramai yang rasa rendah diri. Jadi dengan pendedahan seperti ini, pemain tidak gentar dan lebih terbuka menerima cabaran antarabangsa.
“Apabila mereka berdepan kelab-kelab luar, ia membantu mereka membina keyakinan, semangat berpasukan, dan membentuk peribadi sebagai pemain yang berani dan patriotik,” katanya kepada Arena Metro.
Beliau turut menghargai langkah FAM yang terus memberi ruang penyertaan di peringkat antarabangsa, termasuk kejohanan seperti Genesis Cup di Jepun tahun lalu, sebagai usaha penting membina laluan kerjaya pemain dari akar umbi ke skuad utama.
“Daripada umur 13 hingga 20 tahun, kita kini ada laluan yang lebih tersusun, contohnya melalui Liga Puteri yang membuka peluang ke skuad kebangsaan.
sumber:- HM
“Malah, dari usia seawal 13 dan 14 tahun mereka sudah terbiasa bermain bersama skuad antarabangsa lain,” katanya.