Kuala Terengganu: Sebelum ini penyerang kelahiran Cameroon, Junior Ngong Sam adalah ‘musuh’ bagi pasukan Terengganu FC (TFC).
Apa tidaknya, bekas pemain kelab Filipina, Stallion Laguna FC itu adalah pemain berbahaya terutama selepas menjaringkan dua gol dalam dua pertemuan dengan TFC dalam saingan Piala AFC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin dan Stadium Bolasepak Binan, Filipina pada 2023.
Namun, itu cerita dua tahun lalu, tapi pada hari ini pemain yang lebih mesra dipanggil ‘Sam’ itu adalah rakan sepasukan dalam skuad TFC selepas pengurusan menandatangani pemain itu bagi memperkuatkan pasukan dalam mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) pada musim depan.
Ketua Pegawai Operasi Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Mohd Syahrizan Mohd Zain berkata, penyerang berusia 27 tahun itu menjadi pemain import kedua ‘direkrut’ skuad itu bagi memperkasakan pasukan untuk musim baharu bermula 8 Ogos nanti.
Jelasnya, barisan kejurulatihan diketuai Badrul Afzan Razali bersetuju untuk mengikat bekas penyerang kelab Filipina itu.
“Junior Ngong Sam menjadi pemain import kedua yang ditandatangani TFC pada musim ini selepas kontrak pemain tengah kelahiran Uzbekistan, Nurillo Tukhtasinov disambung.
“Penyerang Cameroon itu tiba di Terengganu semalam selepas selesai menjalani ujian perubatan dan kecergasan di Kuala Lumpur.
“Kita tertarik dengan pemain itu selepas beraksi cemerlang dengan menjaringkan dua gol dalam dua pertemuan ketika menentang TFC dalam saingan Piala AFC sebagai penyerang Stallion Laguna FC.
“Pemain bakal menyarung jersi nombor 19 itu menandatangani kontrak selama semusim sehingga berakhir saingan Liga M yang dijadualkan bermula 8 Ogos ini.
sumber:- HM
“Kita harapkan pemain memiliki kelajuan dan kekuatan fizikal ini dapat menambah lagi sengat serta ketajaman pasukan,” ujar Mohd Syahrizan menerusi kenyataan media, petang ini.