Pemain beregu campuran negara, Toh Ee Wei bertekad untuk kembali menemui rentak serta keyakinan yang disifatkannya ‘sedikit terganggu’ menjelang Masters Indonesia yang dijadual membuka tirai di Istora Senayan, Selasa ini.
Ee Wei yang bergandingan bersama Chen Tang Jie mengakui prestasinya sedikit terjejas selepas Terbuka Malaysia sekali gus memberi kesan kepada keyakinan diri ketika beraksi di Terbuka India, yang menyaksikan mereka tersingkir seawal pusingan pertama.
“Saya rasa selepas Terbuka Malaysia, keyakinan saya sedikit terganggu. Sebab itu di India, walaupun sudah cuba yang terbaik dan tampil lebih serius, prestasi saya kurang baik dan ia menjejaskan keyakinan.
“Saya tetap perlu sertai Masters Indonesia. Tak kisah menang atau kalah, yang penting saya lakukan yang terbaik untuk negara dan keluarga. Saya perlu dapatkan kembali rentak serta keyakinan itu dan harap ia dapat kembali,” katanya.
Pada edisi Masters Indonesia tahun lalu, Ee Wei dan Tang Jie berjaya melangkah hingga ke peringkat suku akhir sebelum tewas di tangan gandingan Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran 21-18, 20-22, 18-21.
Mengulas perbezaan prestasinya ketika ini berbanding aksi cemerlang yang ditampilkan ketika meraih gelaran Kejohanan Dunia 2025 di Paris, Ee Wei mengakui tahap permainannya jauh berbeza.
“Di Kejohanan Dunia, segalanya sangat berbeza dan di luar jangkaan kerana dapat bermain pada tahap tertinggi. Masih banyak kekurangan dan saya perlu banyak belajar daripada pemain yang lebih baik.
“Saya perlu cari semula rentak itu kerana bukan setiap masa kita mampu bermain di tahap terbaik. Apa yang penting adalah proses dan mencari semula apa yang perlu dilakukan,” katanya.