KUALA LUMPUR: Pemain beregu campuran negara, Toh Ee Wei dijangka terlepas aksi Terbuka Artic di Finland dari 8 hingga 13 Oktober ini selepas kemalangan tak diduga di gimnasium Akademi Badminton Malaysia (ABM), Selasa lepas.
Ee Wei yang menjangkau usia 24 tahun Khamis lepas memerlukan 16 jahitan berikutan kecederaan dialami akibat terkena serpihan kaca selepas dia tergelincir ketika memegang dumbel dalam kejadian 3.30 petang itu.
Bagaimanapun, Ee Wei bernasib baik kerana kecederaan itu adalah pada lengan kirinya dan bukannya tangan digunakan untuk bermain.
“Saya masih boleh menganggap diri saya bernasib baik kerana kaca itu tidak mengenai kepala saya atau tangan untuk bermain, jika tidak ia boleh jadi cerita yang lain. Walau bagaimanapun, saya masih mengalami koyak otot belakang tahap dua.
“Saya kemudiannya dikejarkan ke hospital oleh salah seorang ahli fisioterapi di ABM selepas diberitahu kami perlu menunggu lebih lama untuk ambulans,” kata Ee Wei yang kini berehat di kampung halamannya di Bachang, Melaka.
Juara Terbuka Korea 2024 itu berkata ibu bapanya begitu bimbang sehingga mereka datang dari Melaka untuk melihatnya selepas dimaklumkan mengenai kejadian itu.
Penyertaan Ee Wei dan pasangannya Chen Tang Jie dalam kejohanan Jelajah Dunia BWF Super 750 Terbuka Denmark dari 15-20 Okt akan bergantung pada pemulihannya yang mungkin mengambil masa dua minggu.
sumber:-BH
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) ketika dihubungi berkata akan mengeluarkan kenyataan berhubung insiden itu. -BERNAMA