sukan

Ejen dakwa Liga M paling teruk

KUALA LUMPUR: Ejen pemain dari Korea Selatan, Myeongho Jeong mendakwa jurulatih dan pemainnya terpaksa tinggal secara haram di negara ini selepas tidak mendapat visa daripada pasukan yang disertai mereka dalam Liga Malaysia (Liga M).

Menerusi kemaskini di Instagram Story, Jeong menyatakan jurulatih dan pemain itu tidak boleh pergi ke mana-mana dan tidak boleh menaiki pesawat untuk menyertai perlawanan di tempat lawan dan lebih malang, pemain dari Myanmar turut terpalit masalah sama.

Malah, lebih memburukkan keadaan adalah pasukan terbabit tidak membayar gaji selama tiga bulan termasuklah sewa rumah dan juga bayaran kereta yang tidak dilunaskan.

“Saya sentiasa menghubungi pasukan itu tetapi mereka menipu selama enam bulan dan tidak membuat sebarang visa untuk jurulatih dan pemain. Pasukan tidak memberikan visa kepada pemain dan mereka tidak boleh ke mana-mana.

“Pasukan memohon untuk visa tetapi jurulatih dan pemain tidak menerima visa selama enam bulan. Mereka kini seperti pendatang haram dan tersangkut di Malaysia.

“Dua pemain dihantar pulang sebagai pendatang tanpa izin dan mereka tidak boleh kembali lagi ke Malaysia. Mereka adalah pemain Korea Selatan dan Bolivia.

“Pasukan itu menggunakan duit saya dan tidak memulangkan semula. Pasukan tidak membayar sewa rumah dan pemain membayarnya sendiri, ada juga pemain yang sudah dihalau daripada rumah.

“Jika perkara ini tidak diselesaikan pada minggu depan, saya akan mengemukakan aduan kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA). Ini amaran terakhir,” katanya.

Difahamkan, pasukan terbabit adalah Kelantan Darul Naim (KDN) FC dengan Jeong turut berkongsi tangkap layar perbualannya bersama individu dengan nama YB Rozi, dipercayai Presiden KDN FC iaitu Rozi Muhamad.

Malah, Jeong turut menyifatkan pasukan Liga M sebagai pasukan yang teruk selepas ‘berlakon’ dengan baik sebelum menandatangani kontrak dan mengingatkan pemain lain supaya berhati-hati untuk beraksi di Malaysia.

“Saya sudah menjadi ejen pemain selama 15 tahun dan hanya berdepan masalah dengan pasukan Liga M. Ini liga yang paling teruk dan pemain jangan datang ke Liga M.

“Pemain terpaksa mendiamkan diri kerana keluarga dan mata pencarian mereka. Terlalu banyak masalah dengan Liga M tetapi pemain terpaksa menahan kemarahan mereka.

sumber:-BH

“Saya kasihan dengan pemain,” katanya.