sukan

Eky kembali mendapat perhatian

SEREMBAN: Selepas sekadar bertindak sebagai pemain gantian dalam lima perlawanan awal Liga Super, penyerang Polis Diraja Malaysia (PDRM) FC, Mohamad Shahrel Fikri Md Fauzi kembali mendapat perhatian sebaik diserapkan dalam kesebelasan utama pasukan itu.

Dia yang mesra dengan panggilan Eky itu memanfaatkan peluang diberikan pengendali pasukan terbabit, P Maniam apabila sudah meledak dua gol setakat ini dalam pertembungan dengan Johor Darul Ta`zim (JDT) dan Negeri Sembilan.

“Pada peringkat awal liga, saya diletakkan sebagai pemain simpanan kerana posisi utama milik pemain import, Prince Aggreh, namun dia mendapat tawaran beraksi dengan sebuah kelab di Kuwait.

“Ketiadaan Aggreh membuka peluang kepada saya berada dalam barisan kesebelasan utama dan ia bermula pada pertembungan dengan JDT di laman sendiri pada 31 Julai lalu.

“Peluang itu digunakan dengan baik dan memang tekad saya untuk memberikan persembahan terbaik, ternyata ia membawa hasil apabila dapat menjaringkan gol dan

membantu PDRM mencatat keputusan seri dengan JDT,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Shahrel yang beraksi bersama Negeri Sembilan musim lalu dan berjaya meledak enam gol sepanjang musim, akui kini dia sudah mendapatkan rentak terbaiknya sebagai pemain penyerang.

Malah, pemain lincah kelahiran Perak ini berjaya membuktikan kehebatannya apabila dia menjaringkan gol pertama dalam pertembungan dengan skuad Hobin Jang Hobin di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi Ahad lalu sekali gus membantu PDRM melakar kemenangan.

sumber:-BH

“Saya akan terus berusaha untuk memberikan aksi terbaik dalam setiap perlawanan dan menjaringkan gol bagi membantu pasukan mendapatkan kemenangan dan seterusnya meraih pencapaian terbaik pada penghujung saingan nanti,” katanya.