sukan

empat gol dalam tempoh 14 minit

LIVERPOOL: Liverpool menjaringkan empat gol dalam tempoh 14 minit pertama ketika membelasah Sparta Prague 6-1 dan mara ke suku akhir Liga Europa.

Pendahulu Bundesliga, Bayer Leverkusen memerlukan dua gol dalam masa kecederaan sebelum menyingkirkan Qarabag.

AC Milan, Marseille, Roma dan West Ham antara pasukan yang turut menempah tempat untuk undian suku akhir hari ini.

Walaupun mendahului 5-1 pada perlawanan pertama, Jurgen Klopp menurunkan kesebelasan terkuatnya dan Liverpool melangkah semakin hampir untuk misi memburu empat kejuaraan musim ini.

Darwin Nunez dan pemain 19 tahun, Bobby Clark meletakkan The Reds di depan sebelum Mohamed Salah yang membarisi kesebelasan utama buat pertama kali sejak 1 Januari, meledak gol ke-20nya musim ini.

Cody Gakpo menjaringkan gol keempat sebelum Liverpool mula memperlahankan rentak menjelang kunjungan ke Manchester United untuk aksi Piala FA pada Ahad.

Veljko Birmancevic merapatkan jurang untuk Sparta, tetapi Dominik Szoboszlai dan Gakpo terus menambah jaringan untuk Liverpool di babak kedua.

β€œIa kemenangan menakjubkan – dan 15 minit pertama yang sangat memukau. Ia apa yang kami bayangkan. Ia bukti keyakinan dalam pasukan ketika ini,” kata Gakpo selepas kemenangan 11-2 secara agregat.

Pengendali Leverkusen, Xabi Alonso yang dikaitkan sebagai pengganti Klopp di Anfield, kekal belum tewas dalam semua pertandingan musim ini apabila dua gol jaringan Patrik Schick memastikan kemenangan 3-2 ke atas Qarabag dan 5-4 secara agregat.

Schick turut menjaringkan gol ketika masa kecederaan pada perlawanan pertama untuk Leverkusen bangkit daripada ketinggalan 2-0.

Abdellah Zoubir dan Juninho meletakkan juara Azerbaijan di depan, tetapi terpaksa bermain 10 orang di babak kedua selepas Elvin Cafarguliyev dibuang padang kerana mengasari Jeremie Frimpong.

Frimpong merapatkan jurang sebelum Schick meledak dua kali pada minit ke-93 dan 97.

sumber:-BH

West Ham yang ketinggalan 1-0 pada perlawanan pertama menentang Freiburg, bangkit dengan kemenangan 5-0 pada aksi timbal balik dan mara ke suku akhir dengan kemenangan agregat 5-1. – AFP