KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei kini menyasarkan untuk mengungguli empat kejohanan besar (Big 4) tahun depan selepas mengakhiri musim ini dengan pencapaian cemerlang.
Tang Jie-Ee Wei mempamerkan semangat juang tinggi sebelum tewas di tangan juara Olimpik Paris 2024, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong dalam pertarungan tiga set 18-21, 21-14, 17-21 pada aksi final Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou, China, semalam.
Musim ini menjadi musim yang positif buat gandingan nombor lapan dunia itu apabila turut muncul naib juara Masters Thailand, Terbuka Switzerland dan Terbuka Korea.
Tang Jie-Ee Wei juga berjaya melangkah ke suku akhir Olimpik Paris pada penampilan pertama mereka di temasya terbesar dunia itu.
Menjelang saingan musim baharu yang akan bermula lebih kurang tiga minggu lagi, Tang Jie melontarkan cabaran kepada Ee Wei untuk bersama melakar kejayaan dalam empat kejohanan besar musim depan.
“Melangkah ke tahun 2025, saya tekad untuk mencapai kejayaan yang lebih besar.
“Kepada pasangan saya, saya percaya dengan usaha dan kekuatan yang kita miliki, kita boleh mencabar (gelaran) dalam (kejohanan) ‘Big 4’ pada musim depan. Adakah anda bersedia @toh.eewei,” tulis Tang Jie di laman Instagram miliknya.
Terbuka Malaysia bulan depan akan menjadi salah satu kejohanan besar untuk mereka, selain Seluruh England dan Kejohanan Dunia.
sumber:-BH
Jika mereka kekal konsisten, mereka dijangka akan layak sekali lagi ke Jelajah Dunia Akhir BWF.