sukan

Empat pasangan ini belum tentu selamat — Rexy

KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Kejurulatihan Beregu, Rexy Mainaky mengingatkan empat wakil beregu lelaki negara yang akan beraksi di Kejohanan Dunia di Paris hujung bulan ini supaya tidak leka dan mengekalkan disiplin tinggi dalam setiap aspek persiapan.

Empat pasangan itu adalah juara dunia 2022, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, gandingan Man Wei Chong-Tee Kai Wun, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King serta pasangan profesional, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani.

Bagi Rexy, jumlah penyertaan besar itu tidak bermakna kejayaan akan datang mudah, malah setiap pemain perlu memberi tumpuan penuh terhadap persiapan mental, fizikal dan kesihatan.

“Empat pasangan ini belum tentu selamat. Semua kembali kepada persiapan. Ia bukan hanya soal teknik, tetapi bagaimana mereka menjaga diri — jangan sakit, jangan cedera.

“Sakit boleh dielakkan dengan jaga makan, jaga tidur dan elakkan gangguan luar gelanggang. Kecederaan pula perlu dicegah dengan pemanasan badan dan regangan yang betul sebelum dan selepas latihan,” tegasnya.

Rexy turut menekankan bahawa lawan utama seperti Korea Selatan, Indonesia, China, Jepun dan Denmark perlu diberi perhatian, selain beregu tuan rumah Perancis yang dianggap ‘dark horse’.

“Kita memang kena berwaspada dengan semua lawan, tetapi jangan hanya bergantung pada reputasi. Yang penting ialah bagaimana kita membuat persiapan terbaik untuk menghadapi mereka,” katanya.

Kejohanan Dunia 2025 akan berlangsung dari 25 hingga 31 Ogos di Paris, dan Rexy mahu setiap pemain berkongsi visi serta matlamat yang sama dengan jurulatih.

“Kalau jurulatih sasarkan sesuatu, pemain juga mesti seiring pemikiran. Hanya dengan keserasian itu barulah kita boleh harap untuk melakar kejayaan,” katanya penuh keyakinan.