sukan

Empat pemain warisan telah sampai di Malaysia

Kuala Lumpur: Empat pemain warisan yang berpangkalan di luar negara kini berada di ibu negara bagi mencari jalan penyelesaian berhubung isu penggantungan yang dikenakan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) terhadap tujuh pemain skuad Harimau Malaya.

Empat pemain berkenaan babitkan Rodrigo Holgado, Gabriel Palmero, Facundo Garces dan Imanol Machuca bersama tiga lagi tonggak yang bermain dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Joao Figueiredo, Jon Irazabal serta Hector Hevel sebelum ini digantung 12 bulan dan denda oleh FIFA.

Kesemua mereka dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.

Menurut perkongsian oleh seorang wartawan Argentina di laman sosialnya, Holgado dikhabarkan ke Malaysia bagi menyelesaikan isu terbabit bersama enam lagi pemain lain.

“Rodrigo Holgado kini berada di Malaysia bersama ejennya. Pemain @americadeCali (kelab Holgado) itu berlepas selepas tindakan sekatan FIFA ke atas skuad kebangsaan serta enam lagi pemain lain.

“Penyerang tersebut berharap isu berkenaan dapat diselesaikan memandangkan terdapat tempoh 10 hari untuk membuat rayuan,” kata Nany Lopes di laman X.

Arena Metro turut melakukan tinjauan di laman sosial dan mendapati beberapa peminat akui ternampak kelibat Holgado dan rakan sepasukan di sekitar Johor Bahru.

Terdahulu, FIFA memaklumkan FAM menyerahkan dokumen yang didakwa dipalsukan dalam urusan kesahihan kelayakan pemain bagi membolehkan mereka diturunkan dalam perlawanan rasmi dan FIFA memberi tempoh selama 10 hari untuk membuat rayuan.

Kesemua mereka beraksi ketika perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lalu, yang kemudian mengundang aduan rasmi kepada FIFA berhubung status kelayakan beberapa pemain berkenaan.

Hasil siasatan, Jawatankuasa Tatatertib FIFA memutuskan FAM perlu membayar denda sebanyak CHF350,000 (RM1.8 juta).

Setiap pemain pula dikenakan denda CHF2,000 (RM10,560) dan digantung daripada sebarang aktiviti bola sepak selama 12 bulan, berkuat kuasa serta-merta.