BLANKENHAIN, Jerman: Penyerang England, Ivan Toney berkata The Three Lions perlu memanfaatkan peluang kedua yang diberikan kepada mereka di Euro 2024 menjelang aksi suku akhir menentang Switzerland, awal pagi Ahad ini.
Skuad bimbingan Gareth Southgate mempamerkan kebangkitan luar biasa pada saat akhir untuk menyingkirkan Slovakia di pusingan 16 terakhir.
Sepakan gunting Jude Bellingham pada masa kecederaan membantu England mengelak daripada dimalukan tersingkir awal dalam kejohanan kali ini.
Toney, dalam penampilan pertamanya sebagai pemain gantian, membuat hantaran kepada Harry Kane, yang menjaringkan gol kemenangan untuk menempah pertemuan dengan Switzerland.
“Saya fikir ia membuka mata, anda boleh pulang pada bila-bila masa,” kata Toney dalam sidang media.
“Kelegaan selepas itu di bilik persalinan adalah seperti ‘sekarang, kawan-kawan, sudah tiba masanya untuk terus maju’.
“Saya rasa kami mempunyai watak dan kualiti pemain di bilik persalinan untuk melakukannya,” katanya lagi.
England tiba di Jerman sebagai salah satu pasukan pilihan untuk kejohanan kali ini selepas dibarisi pemain bersatus bintang seperti penjaring terbanyak Bundesliga, Kane; bintang Real Madrid, Bellingham, dan Phil Foden, yang memenangi anugerah pemain terbaik Liga Perdana musim lalu.
Namun, mereka adalah salah satu daripada beberapa pasukan termasuk Perancis dan Portugal, yang mara ke suku akhir walaupun dengan prestasi kurang memuaskan.
“Jika kami menang 2-0, orang akan berkata kami sepatutnya menang 3-0, 4-0, tetapi ia selalu berlaku. Kami tinggal dua perlawanan untuk mara ke perlawanan akhir dan kami hanya perlu melakukan apa yang kami mampu untuk mencapainya,” katanya.
Southgate selepas aksi menentang Slovakia mengakui Toney berasa kecewa dengannya kerana dibawa masuk pada masa kecederaan.
Penyerang Brentford itu, berkata dia perlu mengawal emosi dan memainkan peranan penting bagi membantu England mencipta kemenangan.
“Dengan memenangi,” kata Toney mengenai bagaimana dia dan Southgate berbaik semula.
sumber:-BH
“Setiap pemain akan berasa kecewa tidak bermain, terutamanya apabila hanya tinggal satu minit. Saya terpaksa mengatasi perasaan saya dan meneruskan permainan.” – AFP