GELSENKIRCHEN, Jerman: Gareth Southgate menegaskan England akan memperoleh manfaat daripada ‘penderitaan’ dialami mereka selepas hanya melakar kemenangan tipis 1-0 ke atas Serbia dalam saingan Euro 2024, awal pagi tadi.
Skuad kendaliannya memulakan perlawanan dengan positif apabila tandukan Jude Bellingham berjaya menerjah jaring sekali gus membantu mereka mendahului pada minit ke-13.
England menguasai sehingga separuh masa pertama namun momentum berkenaan ‘hilang’ pada babak berikutnya selain harus bergantung harap kepada penjaga gol, Jordan Pickford untuk menafikan asakan lawan dalam perlawanan pertama Kumpulan C itu.
Sebagai pasukan pilihan, persembahan dipamerkan itu nyata tidak seperti dijangkakan apatah lagi selepas tuan rumah Jerman meletakkan satu penanda aras tinggi apabila membenam Scotland 5-1 pada aksi pertama mereka.
Namun Southgate tetap yakin England boleh berbangga dengan cara mereka untuk mengekang Serbia.
“Kami mungkin sedikit kecewa tetapi saya fikir ia sesuatu yang bagus buat kami. Untuk bertahan di kawasan kubu seperti yang kami lakukan, ia sesuatu yang bagus buat kami,” katanya.
“Saya amat gembira dengan permainan sebegitu. Pada babak kedua, kami tidak melakukannya dengan baik seperti saya mahukan tetapi apa yang penting adalah meraih kemenangan.
“Gembira kerana kami harus menunjukkan satu sisi yang lain dan mempamerkan kesungguhan bagi mempertahankan kubu kami kerana sebagai satu pasukan ia membina semangat tinggi. Kami bertahan sebagai satu unit.”
Southgate turut mengakui England masih mempunyai banyak ruang yang boleh diperbaiki selepas persembahan kurang memberangsangkan pada aksi pertama mereka.
sumber:-SH
“Kami boleh menjadi lebih berkesan seperti dipersembahkan pada babak pertama dan ia juga akan membantu kami untuk terus maju ke hadapan. Kami mengharungi perlawanan sengit dan rumit tetapi semangat pasukan berjaya ditonjolkan malam ini,” katanya. – AFP