sukan

England perlu rehat secukupnya – Harry Kane

Harry Kane berkata England perlu bertenang selepas kemenangan ke atas Mexico di Stadium Azteca, lapor PA Media/dpa.

Skuad kendalian Thomas Tuchel mencipta antara keputusan terbaik England di Piala Dunia sejak kebelakangan ini apabila mengatasi pelbagai cabaran untuk menewaskan tuan rumah bersama itu 3-2.

England terpaksa berdepan faktor altitud, sorakan kuat penyokong tuan rumah serta kad merah Jarell Quansah pada awal separuh masa kedua, sebelum pemain yang keletihan rebah di atas padang selepas wisel penamat ketika mereka bertahan dengan 10 pemain.

England kini diberi rehat beberapa hari sebelum memberi tumpuan kepada aksi suku akhir menentang Norway di Miami, Ahad ini.

“Mara ke pusingan seterusnya. Malam yang luar biasa, kami menghargai sokongan anda semua. Saya tahu ramai berada di stadium dan ramai juga yang menonton dari rumah hingga lewat malam.

“Hubungan dengan semua orang kini lebih kuat dan kami merasainya lebih daripada sebelum ini.

“Kami kini perlu pulih, menenangkan diri, berehat selama beberapa hari dan kemudian bersedia untuk aksi suku akhir,” katanya menerusi video di media sosial.

Kane, yang menyempurnakan penalti pada separuh masa kedua untuk memastikan kemenangan England, berkata pengalaman beraksi di Stadium Azteca dan cara pasukan itu menang menjadikan perlawanan berkenaan antara aksi kegemarannya bersama England.

“Perlawanan itu sangat istimewa, suasana, stadium… semua orang begitu teruja untuk berada di sana dan bermain dalam perlawanan ikonik ini.

“Untuk mengharungi segala kesukaran dalam perlawanan itu, berjuang seperti yang kami lakukan, mempertaruhkan segalanya dan melihat semua pemain bekerja keras di setiap inci padang, ia benar-benar pengalaman yang luar biasa.

“Ia tanpa ragu-ragu antara perlawanan kegemaran saya bersama England. Pujian penuh kepada semua pemain. Saya amat bangga dengan semua orang, semua kakitangan dan semua yang terbabit.

“Kami tahu ujian yang menanti, kami tahu betapa sukarnya perlawanan itu dan akhirnya kami berjaya mengatasinya,” katanya.