KUALA LUMPUR: Hanya beberapa jam sahaja lagi tahun 2024 bakal melabuhkan tirai dan perkara lebih besar menanti peminat bola sepak tanah air adalah ia akan menandakan titik permulaan era baharu skuad kebangsaan.
Memasuki tanggal 1 Januari 2025, esok, bermakna ketua jurulatih baharu pasukan senior Harimau Malaya, Peter Cklamovski dan pengendali skuad bawah 23 (B-23) tahun, Nafuzi Zain secara rasmi akan memulakan tugas mereka.
Pelantikan Cklamovski dan Nafuzi yang diumumkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada 16 Disember lalu termasuk dalam revolusi skuad Harimau Malaya.
Ia bakal memberi pengalaman pertama buat Cklamovski sebagai ‘bos’ bagi pasukan kebangsaan selepas sebelum ini bertindak selaku penolong jurulatih skuad Australia dan ketua jurulatih beberapa kelab Jepun termasuk FC Tokyo.
Melihat kepada profilnya, ada juga pihak yang meragui keupayaan pengendali berusia 46 tahun itu hanya kerana beliau tiada pengalaman memikul tugas selaku ketua jurulatih untuk mana-mana pasukan kebangsaan sebelum ini.
Namun, bekas pengendali skuad kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan sebelum ini menyifatkan pengalaman selaku penolong jurulatih dalam pasukan kebangsaan Australia dan ketua jurulatih di beberapa kelab antara aspek yang boleh membantu Cklamovski mengemudi Harimau Malaya.
Berdasarkan pengalamannya, Cklamovski pernah bekerja selama lebih 15 tahun di bawah pengurus Tottenham Hotspur, Ange Postecoglou ketika bersama mengemudi skuad kebangsaan Australia menjuarai Piala Asia 2015 dan kemudian memenangi Liga J1 2019 ketika mereka mengemudi kelab Jepun, Yokohama F Marinos.
Kini, misi utama Cklamovski adalah untuk memastikan Harimau Malaya mengungguli saingan kelayakan Kumpulan F bagi mencapai sasaran layak ke Piala Asia 2027 di Arab Saudi, selain memperbaiki ranking FIFA untuk menuju ke kedudukan 100 terbaik dunia.
“Ke mana sahaja saya pergi, ia akan menjadi keputusan berdasarkan cita-cita, kuasa sokongan di sekitar saya dan tempat yang kita boleh membuka langkah untuk mencapai impian serta memberi impak,” kata Cklamovski dipetik dari laporan Optus Sport.
Melihat kepada Nafuzi pula, tugas besar menanti bekas ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC itu adalah untuk memastikan kesinambungan dalam skuad B-23 yang berperanan sebagai pembekal bakat muda untuk dinaikkan ke skuad senior Harimau Malaya.
Pengalaman Nafuzi dalam mengendalikan pasukan bawah umur tidak boleh dinafikan apabila beliau berjaya membawa Kelantan menjuarai Piala Presiden sebanyak tiga kali iaitu sebagai penolong ketua jurulatih pada 2011 dan 2013 serta sebagai ketua jurulatih pada 2015.
Kredibiliti Nafuzi yang kini berusia 46 tahun juga ditagih dalam usaha memperkasakan semula skuad B-23 kebangsaan yang kebelakangan ini kelihatan kurang menyinar di pentas antarabangsa.
Tugasan penting untuk skuad B-23 pada tahun 2025 adalah untuk kembali bangkit pada kempen Kejuaraan B-23 ASEAN 2025, Kelayakan Piala Asia B-23 2026 dan Sukan SEA 2025 di Thailand.
Sementara itu, pelantikan bekas pemain kebangsaan Kanada dan kelab Eintracht Frankfurt, Robert Douglas Friend sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya menambahkan lagi keghairahan peminat untuk melihat perubahan dalam skuad negara.
sumber:-BH
Bakal memulakan tugas bulan depan, beliau yang lebih dikenali sebagai Rob Friend hadir dengan portfolio hebat menerusi pembabitannya dalam bidang pengurusan dan pentadbiran bola sepak selepas bersara sebagai pemain pada Disember 2014.