sukan

Euro 2024: kami sangat yakin kami mampu Juara – Kroos

HERZOGENAURACH, Jerman: Tuan rumah Jerman berdepan Sepanyol pada aksi suku akhir Euro 2024 di Stuttgart, awal pagi Sabtu ini dengan pasukan itu dilihat berada pada tahap keyakinan tertinggi sejak hampir sedekad lalu.

Selepas beberapa siri persembahan buruk dalam kejohanan utama, Jerman kini kembali berada pada tahap prestasi terbaik mereka.

Tonggak veteran Jerman dan pemenang Piala Dunia 2014, Toni Kroos, berkata matlamat utama pasukan itu adalah untuk menjuarai saingan Euro kali ini.

“Kami mahu melangkah lebih jauh dan di dalam bilik persalinan kami sangat yakin kami mampu mencapainya,” katanya.

Kenyataan berani itu jauh berbeza berbanding sembilan bulan lalu apabila Hansi Flick menjadi jurulatih pertama yang dipecat dalam sejarah Jerman selepas dimalukan dengan kekalahan 1-4 di tangan Jepun di Wolfsburg.

Penggantinya, Julian Nagelsmann hanya menang satu daripada empat perlawanan awal di bawah kendaliannya, tetapi usahanya sejak Mac lalu membawa kepada kejayaan dalam saingan Euro setakat ini.

Nagelsmann membuat 11 perubahan dalam skuad, membawa masuk pemain dari juara Bundesliga Bayer Leverkusen dan naib juara Stuttgart selain menyingkirkan beberapa nama besar.

Bagaimanapun, tindakan paling berani Nagelsmann adalah membawa kembali Kroos yang sudah bersara daripada bola sepak antarabangsa pada 2021.

Pemain tengah itu mempamerkan prestasi cemerlang dalam kejohanan terakhirnyakali ini sebelum bersara sepenuhnya daripada bola sepak.

Pertemuan antara dua pasukan yang paling mengagumkan dalam kejohanan ini – dan satu-satunya pasukan yang memenangi tiga gelaran Euro – akan menjadi perlawanan utama.

Dengan pasukan pilihan lain seperti Perancis, England dan Portugal bergelut dengan prestasi tidak menentu, pasukan yang memenangi perlawanan awal pagi Sabtu ini dijangka melangkah ke final.

Sepanyol adalah satu-satunya pasukan yang meraih kemenangan dalam setiap perlawanan mereka di Euro 2024 dan menjaringkan sembilan gol dan hanya satu bolos.

Jerman pula yang merekodkan tiga kemenangan dan satu seri berdepan cabaran dalam perjalanan ke suku akhir.

Sebagai pemain dengan rekod kejayaan yang cemerlang, Kroos yang juga pemenang enam kali Liga Juara-Juarapercaya keinginan untuk menang datang “hanya melalui pengalaman.”

“Anda boleh mempunyai mentaliti atau keyakinan untuk menang, anda boleh menghidupkannya, tetapi sukar untuk menyatakannya dalam perbualan. Anda perlu melalui pengalaman dan dari situ keyakinan anda meningkat.”

Kroos turut memberi contoh “situasi sukar” yang menguji kekuatan Jerman.

“Menentang Hungary, kami menghadapi saat-saat sukar, menentang Switzerland kami ketinggalan. Menentang Denmark, keadaan tidak berjalan dengan lancar,” kata Kroos, menjelaskan “sesuatu seperti itu membantu mereka belajar untuk keka tenang dan percaya kepada diri sendiri.”

sumber:-BH

“Kami kini mempunyai keyakinan yang berbeza. Kami kini memenangi perlawanan atau sekurang-kurangnya tidak kalah dalam perlawanan yang kami jelas kalah sebelum ini.” – AFP