PADERBORN, Jerman: Persekutuan Bolasepak Perancis (FFF) memaklumkan Kylian Mbappe masih belum pasti akan diturunkan pada aksi Euro 2024 bertemu Belanda selepas kapten pasukan itu mengalami patah hidung ketika menang 1-0 ke atas Austria, awal pagi semalam.
Ia memberi gambaran kelibat Mbappe pada aksi Kumpulan D menentang Belanda di Leipzig awal pagi Sabtu ini ‘masih tidak menentu’, menurut FFF selain menambah satu perkembangan terkini akan diumumkan hari ini.
Pemain berusia 25 tahun itu mengalami kecederaan berkenaan ketika bertembung dengan Kevin Danso pada hujung perlawanan di Duesseldorf – yang menyaksikan hidungnya tertonyoh ke bahu pertahanan Austria itu.
FFF kemudian berkata, Mbappe sudah menjalani pemeriksaan di hospital Duesseldorf sebelum kembali menyertai skuad Perancis di pangkalan mereka di Paderborn.
Persekutuan itu memaklumkan, Mbappe tidak memerlukan pembedahan selain menyatakan pemain Real Madrid itu akan memakai topeng bagi membolehkan dia kembali beraksi selepas menjalani tempoh rawatan.
sumber:-BH
“Keadaannya teruk. Dia tidak begitu baik. Apa yang pasti, hidungnya tidak berada dalam keadaan baik,” kata pengendali Perancis, Didier Deschamps selepas perlawanan dengan Austria. – AFP