LONDON: Seorang penyokong England mendakwa beliau hanya ‘tersedar daripada lena’ di Arena AufSchalke, Gelsenkirchen pada jam 4 pagi keesokan harinya susulan kekecohan yang berlaku selepas perlawanan antara Three Lions dan Serbia, awal pagi semalam.
Dalam satu klip video tersebar di media sosial, seorang penyokong yang tampak keletihan merakam dirinya sendiri di dalam stadium kosong dengan berkata: “Saya baharu sahaja bangun daripada tidur, sekarang jam 4 pagi.”
Penyokong berkenaan turut menyorotkan kameranya untuk menunjukkan kawasan sekitarnya yang nyata tidak disertai individu lain.
Dakwaan itu secara tidak langsung menunjukkan yang kehadiran penyokong berkenaan tidak disedari pihak keselamatan dan pegawai selama lebih lima jam selepas perlawanan dimenangi England 1-0 itu.
Situasi berkenaan nyata menarik perhatian ramai yang menonton video tular berkenaan.
Salah seorang daripadanya menulis: “Ini yang akan terjadi apabila anda menonton perlawanan bola ‘Sleepy Southgate'”.
Dalam pada itu, salah seorang yang memberikan komen menambah: “Kemungkinan lebih baik daripada tersekat di trem Gelsenkirchen.”
Penyokong England terkandas di Gelsenkirchen selama beberapa jam selepas perlawanan berakhir apabila terdapat kekecohan dalam perjalanan pulang.
SUMBER:-BH
Penyokong pastinya mengharapkan isu perjalanan dapat ditangani dengan lebih baik apabila skuad kendalian Southgate dijadual bertemu Denmark di Frankfurt, Jumaat ini. – AGENSI