sukan

Euro 2024: Pickford muncul selaku wira Three Lions

DUSSELDORF (Jerman): Usaha England memburu gelaran pertama di kejohanan utama dalam tempoh 58 tahun kembali ‘bernyawa’ selepas bangkit menewaskan Switzerland 5-3 dalam penentuan penalti.

Selepas aksi 120 minit berakhir dengan 1-1, penjaga gol England, Jordan Pickford muncul selaku wira Three Lions dalam drama penentuan penalti selepas menafikan sepakan pertama Switzerland yang diambil Manuel Akanji.

Cole Palmer, Jude Bellingham, Bukayo Saka, Ivan Toney dan Trent Alexander-Arnold berjaya melunaskan sepakan mereka untuk membawa England ke separuh akhir bertemu sama ada Turkiye ataupun Belanda di Dortmund pada Khamis ini.

Selepas jaringan penyamaan Bellingham pada minit ke-95 sebelum mereka menewaskan Slovakia pada masa tambahan dalam aksi 16 terbaik, England sekali lagi berada dalam situasi hampir sama ketika perlawanan hanya berbaki 10 minit.

Perlawanan pada 75 minit awal berlangsung penuh suram sebelum Breel Embolo membuka tirai jaringan untuk meletakkan Switzerland di hadapan.

Jaringan Saka dari luar kotak berjaya menyamakan kedudukan selang lima minit kemudian.

Pertahanan Manchester City, Akanji kemudian gagal melunaskan sepakan penentuan penalti

Mereka kini sudah merekodkan lima kekalahan tanpa pernah mara ke separuh akhir.

Dalam pada itu biarpun mara, England berdepan satu lagi rentetan persembahan kurang memberangsangkan daripada anak buah Gareth Southgate.

“Kami tahu masih ada dua perlawanan lagi, kami boleh mengubahnya dan mencipta sejarah yang sebelum ini tidak berjaya ditunaikan,” kata Saka yang dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan.

sumber:-BH

Untuk rekod, England hanya menang sekali dalam lima perlawanan yang ditentukan menerusi penentuan penalti di Euro sebelum ini, termasuk tewas di tangan Itali di pentas final, tiga tahun lalu. – AFP