LEIPZIG, Jerman: Penyerang sensasi Portugal, Cristiano Ronaldo melaungkan keazaman untuk melakar lebih banyak sejarah pada Kejuaraan Eropah kali ini.
Bintang berusia 39 tahun itu berkata, pasukannya ‘layak’ untuk menjuarai satu lagi trofi utama di peringkat antarabangsa bagi menambah koleksi sedia ada yang dilakar pada Euro 2016.
Portugal akan memulakan kempen saingan bertemu Republik Czech di Leipzig awal pagi Rabu ini dengan Ronaldo sudah bersedia untuk membuat penampilan keenamnya dalam kejohanan itu.
Skuad kendalian Roberto Martinez itu melayakkan diri dengan rekod 100 peratus dan dilihat bakal melepasi saingan Kumpulan F yang turut disertai Turkiye dan Georgia dengan mudah.
Bekas pemain Real Madrid itu melakar kejuaraan bersama Portugal pada edisi 2016 namun berdepan kecederaan ketika menentang Perancis pada aksi final yang menyaksikan Eder menjaringkan gol kemenangan pada masa tambahan.
Ronaldo yang kini melebarkan sayapnya beraksi bersama Al-Nassr dalam liga Arab Saudi, berjaya meledak dua gol ketika menentang Republik Ireland pada aksi persahabatan minggu lalu sekali gus menambah jumlah jaringan antarabangsanya kepada 130 gol.
Empat belas daripadanya hadir dalam Kejuaraan Eropah dan menjadikannya sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman di hadapan legenda Perancis, Michel Platini yang mengumpul sembilan gol.
Seandainya Ronaldo berjaya menemui jaringan di Jerman, dia juga bakal melakar sejarah sebagai penjaring paling tua meledak gol dengan rekod sebelum ini dipegang Ivica Vastic dari Austria pada 2008.
Ketika itu, Vastic menjaringkan gol pada usia 38 tahun dan 257 hari.
“Saya menikmati bola sepak, rekod adalah hasil daripadanya, jadi bagi saya ia bukan satu sasaran kerana saya fikir ia hadir secara semula jadi,” kata Ronaldo.
sumber:-BH
“Saya gembira dengan penampilan keenam pada Euro dan ia berkaitan mengenai menikmatinya dengan cara terbaik, bermain dengan baik, memastikan pasukan boleh menang, cuba memberikan yang terbaik dan menikmatinya.” – AFP