sukan

EURO 2024 : “Semua orang dibenarkan mempunyai pendapat sendiri, tidak mengapa,”

Kapten Belanda, Virgil Van Dijk, memahami kritikan yang menghujani pasukannya dalam EURO 2024 walaupun kekal tidak tewas dalam kejohanan itu berikutan keputusan seri tanpa jaringan dengan Perancis dalam perlawanan terakhir.

Belanda bangkit daripada ketinggalan untuk memenangi perlawanan pembukaan Kumpulan D ke atas Poland, sebelum bertahan untuk satu mata bertemu Les Bleus.

Dalam permainan yang didominasi oleh anak Didier Deschamps itu, skuad Oranje mencatatkan penguasaan paling rendah dalam perlawanan EURO sejak edisi 1980 dengan 37 peratus.

Begitupun, tidak termasuk penentuan sepakan penalti, Belanda hanya tumpas sekali dalam 18 perlawanan terakhir kejohanan utama sejak dikejutkan Czechia dalam EURO 2020.

Van Dijk dan rakan sepasukannya telah dikritik pemerhati bola sepak dan kolumnis akhbar selepas perlawanan menentang Perancis itu, namun kapten Liverpool tersebut tidak terbawa-bawa dengan ulasan berkenaan.

“Semua orang dibenarkan mempunyai pendapat sendiri, tidak mengapa,” katanya.

“Ia tidak mengganggu saya, ia adalah sebahagian daripada bola sepak. Jika ia menjengkelkan saya, saya pasti akan mengalami kehidupan yang sangat tidak menyenangkan.

“Harapan terhadap kami juga tinggi, begitu juga dalam kalangan kami sendiri. Kami mempunyai pasukan yang bagus; Saya ikhlas berpendapat sedemikian. Kami mahu membuktikannya dalam perlawanan besar. Selepas perlawanan menentang Perancis, kami berpesan kepada satu sama lain tentang apa yang perlu diperbaiki.

sumber:-SH

“Kami boleh dan perlu melakukan lebih baik lagi berbanding persembahan ketika menentang Perancis. Kami masih boleh membuat peningkatan dalam kempen EURO ini.”