COLOGNE: Kekalahan 4-1 kepada Sepanyol di peringkat 16 terakhir menamatkan penyertaan sulung Georgia dalam pusingan akhir kejohanan utama dan penjaga gol, Giorgi Mamardashvili menjangkakan skuad La Roja akan memenangi Euro 2024.
Sepanyol ketinggalan selepas jaringan sendiri pada minit ke-18, namun ia tidak mematikan semangat mereka apabila berjaya mara ke suku akhir hasil jaringan Rodri, Fabian Ruiz, Nico Williams dan Dani Olmo.
“Saya fikir Sepanyol pasukan pilihan untuk kejohanan ini dan mereka akan menjadi juara. Malangnya kami bertemu pasukan itu, tetapi tidak mengapa, ia bukan penamat. Kami akan kembali dengan lebih kuat,” kata Mamardashvili.
“Sudah tentu sedih tewas dalam pusingan 16 terakhir, tetapi kami juga harus gembira kerana sejak sekian lama kami tidak membayangkan akan sampai sejauh ini.”
Perjalanan pasukan Georgia menjadi salah satu cerita yang menarik dalam kejohanan itu dengan mereka menewaskan Portugal 2-0 dalam aksi terakhir Kumpulan F untuk mara ke peringkat kalah mati.
Kapten Georgia, Guram Kashia berkata, pasukannya kecewa apabila tersingkir dan kecederaan yang dialami penyerang, Otar Kiteishvili menjadi antara faktor kekalahan itu.
“Kami bermain dengan baik pada separuh masa pertama (menentang Sepanyol). Pada babak kedua, selepas kami kehilangan Kiteishvili, permainan berubah.
“Akhirnya, kami bolos dan mengucapkan selamat tinggal kepada kejohanan, namun kami gembira kerana mewakili negara dengan bermaruah,” kata Kashia.
sumber:-BH
“Kami berbangga dengan cara kami bermain untuk negara pada kejohanan peringkat tinggi seperti itu. Kami ke Kejuaraan Eropah buat kali pertama dan ia perjalanan yang menakjubkan.” – REUTERS