KUALA LUMPUR: Kesilapan mudah yang dilakukan Selangor dianggap sebagai faktor skuad itu tewas 2-4 kepada kelab Singapura, Lion City Sailors dalam aksi Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) di Stadium Bishan, semalam.
Perkara itu diakui kapten Selangor, Faisal Halim sambil menjelaskan pasukannya juga tidak beraksi dengan baik seperti yang dirancang dan menganggap keseluruhan pasukan harus bertanggungjawab atas kekalahan itu.
“Kami tidak bermain dengan baik, apa yang jurulatih rancang, apa yang kami mahu, kami tidak dapat lakukan dengan baik. Kami melepaskan gol mudah, bukan hanya siapa yang melakukan kesilapan, tapi kami semua dalam pasukan harus mengambil tanggungjawab.
“Kami perlu belajar daripada perlawanan ini, kami ada masa untuk memperbetulkan dan melakukan persiapan bagi menghadapi perlawanan seterusnya.
“Bagi saya, kejohanan ini tahap tinggi, kami tidak boleh melakukan kesilapan mudah. Jika melakukan kesilapan, pasukan lawan akan menghukum kami,” katanya dalam temubual selepas perlawanan.
Pada aksi itu, Anderson Lopes muncul wira Lion City Sailors apabila meledak semua empat gol pasukannya manakala jaringan Selangor disumbang Chrigor Moraes dan Faisal.
Ia menjadi kekalahan kedua berturut-turut dialami Gergasi Merah dalam Kumpulan G selepas tewas dengan jaringan sama ketika aksi pertama menentang wakil Thailand, Bangkok United di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), 18 September lalu.
Selangor yang kini dikendalikan ketua jurulatih interim, Christophe Gamel kekal di kedudukan tercorot kumpulan tanpa sebarang mata, sementara Lion City Sailors berada di tangga teratas dengan mengumpul empat mata.
Selain itu, Faisal berjanji bahawa pasukannya akan bangkit dengan Gergasi Merah bakal berdepan kelab Indonesia, Persib Bandung di gelanggang lawan bagi aksi ketiga kumpulan, 23 Oktober ini.
“Terima kasih kepada penyokong datang menyokong kami, tapi kami mohon maaf. Persembahan kami tidak cukup bagus, tapi kami janji kami akan bangkit. Kami akan bagi segala-galanya, kami akan berjuang untuk penyokong dan kelab,” katanya.