Ketua pasukan Selangor, Faisal Halim, menyifatkan kelekaan memberikan jaringan mudah sebagai faktor kekalahan 2-4 dalam Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) sebentar tadi.
Kesilapan awal Gergasi Merah dalam pertemuan di Stadium Bishan itu membawa padah apabila pintu gol mereka dirobek tiga kali dalam separuh masa pertama yang tertangguh hampir sejam itu akibat cuaca buruk.
“Kami tidak bermain baik tidak dapat menterjemahkan perancangan kami.
“Kami tewas kerana gol mudah. Saya tidak mahu menunding jari dan keseluruhan pasukan harus bertanggungjawab.
“Kami harus ambil pelajaran ini untuk mengharungi aksi seterusnya.
“Di peringkat sebegini, kami tidak boleh melakukan kesilapan mudah kerana ia akan dihukum pihak lawan,” katanya selepas perlawanan.
Dalam masa sama, Faisal beranggapan masih ada ruang untuk Selangor memperkemaskan permainan di bawah bimbingan pemangku jurulatih, Cristopher Gamel, biarpun menghuni tangga tercorot Kumpulan G ketika ini.
“Saya ingin memohon maaf kepada penyokong yang sanggup berhujan kerana tidak bermain baik.
“Tetapi kami berjanji akan bangkit, kembalikan prestasi, curahkan segalanya serta berjuang untuk peminat dan kelab,” katanya.