SHAH ALAM: Penyerang Selangor FC, Faisal Halim dijangka membuat kemunculan khas pada kejohanan berprestij, Piala Sultan Selangor(TSSC) 2024 di Stadium Merdeka, 17 Ogos ini.
Perkara itu dikongsikan Pengerusi dan Pengurus Pasukan Piala Sultan Selangor, Tan Sri Abd Karim Munisar pada sesi Majlis Ramah Mesra Pemain-Pemain Pasukan Pilihan Selangor bersama peminat di Pusat Beli Belah SACC di sini, hari ini.
“Tadi saya kesempatan berjumpa dengan pemain Selangor kita, Faisal Halim yang mengatakan dia bersedia untuk beraksi pada Piala Sultan Selangor.
“Ini adalah titik permulaan dalam karier Faisal Halim (selepas berehat akibat insiden disimbah asid) dan kita sama-sama hadir berikan semangat yang hebat pada pasukan Selangor, khususnya Faisal Halim,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Faisal sebelum terpaksa berehat panjang selepas dirinya menjadi mangsa simbah asid oleh individu tidak dikenali pada 5 Mei lalu hingga menyebabkan dia menggalami kelecuran tahap empat.
Abd Karim berkata, pada edisi ke-20 tiga cabutan bertuah turut disediakan iaitu sebuah kereta Honda City dan penginapan empat hari tiga malam di Hotel Marriot Kota Kinabalu, Sabah serta Hotel Noble, Melaka.
Katanya, hadiah cabutan bertuah yang dianggarkan bernilai RM130,000 itu menanti pengunjung dan penyokong TSSC pada malam bersejarah itu.
Mengulas lanjut, beliau berkata persiapan bagi acara berkenaan juga sudah hampir 100 peratus selesai dengan raptai penuh akan dijalankan pada 15 Ogos ini.
“Pada 17 Ogos ini, penonton akan disajikan dengan pertunjukan payung terjun dan disusuli dengan pertunjukan bunga api serta persembahan penyanyi terkenal, Datuk Jamal Abdillah.
“20,000 tiket TSSC sudah habis terjual dan ini adalah respon yang baik. Ia termasuk 1,500 tiket dikhaskan kepada penonton dari Singapura.
“Sebenarnya mereka minta lebih tiket tetapi kita terpaksa hadkan berikutan kapasiti stadium,” katanya.
sumber:-BH
Perlawanan pembuka tirai TSSC 2024 akan dilaksanakan pasukan veteran pada 8 malam, diikuti perlawanan utama satu jam selepas itu.