KUALA LUMPUR: Pemain sayap Selangor FC (SFC), Faisal Halim sah tidak akan menyertai Pestabola Merdeka selepas pemain itu tidak diumumkan dalam skuad oleh ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Pau Marti Vicente, hari ini.
Pau Marti menjelaskan, pemain sayap lincah itu tampak belum berada dalam keadaan yang terbaik untuk dipanggil kali ini sekali gus barisan kejurulatihan membuat keputusan untuk melupakan khidmat pemain itu bagi menghadapi dua aksi berdepan Filipina dan Lubnan ataupun Tajikistan.
“Saya gembira apabila Faisal kembali beraksi, menunjukkan kekuatan dan karakternya jadi ini sesuatu yang boleh kita pelajari dan membuatkan kita bangga.
“Saya sentiasa berhubung dengan Faisal tetapi saya rasa buat masa ini, biarlah dia fokus kepada proses pemulihan, mendapatkan semula tahap kecergasannya dan mendapat minit permainan bagi memastikan dia boleh kembali ke tahap terbaiknya.
“Apabila tiba masanya nanti, sudah tentu pasukan, dia (Faisal) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan mencari masa terbaik untuk dia kembali beraksi bersama skuad kebangsaan,” katanya pada sidang media pengumuman pemain skuad Harimau Malaya ke Pestabola Merdeka.
Sebagai rekod, Pau Marti mengekalkan 18 daripada 26 pemain yang dipanggil dalam dua perlawanan terakhir Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 berdepan Kyrgyzstan dan Taiwan pada Jun lalu.
Untuk itu, lapan pemain yang kembali disenaraikan adalah penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, Arif Aiman Hanapi, Romel Morales dan Afiq Fazail.
Empat lagi pemain yang turut dipanggil memperkuat skuad kebangsaan kali ini adalah Azam Azmi Murad, Darren Lok, Harith Haiqal Adam Afkar dan Syafiq Ahmad.
Dalam masa sama, bekas pembantu jurulatih skuad remaja Barcelona itu menyifatkan pemain yang dipanggil kali ini adalah pemain yang terbaik dalam negara buat masa ini sekali gus mereka percaya barisan pemain ini mampu memberikan aksi mantap.
“Ini adalah pemain terbaik yang kita ada buat masa ini. Kita ada gabungan antara pemain berpengalaman dan pemain muda yang datang untuk belajar sesuatu dan bersedia apabila sudah tiba masanya.
“Kami memantau semua perlawanan Liga Malaysia (Liga M) musim ini dan kebanyakan pemain yang dipanggil adalah pemain utama pasukan dan mendapat minit perlawanan yang tinggi.
sumber:-BH
“Jadi prestasi mereka dalam liga sangat penting kerana mereka sentiasa beraksi dalam tahap kompetitif yang tinggi,” katanya.