Kelibat pemain sayap negara Faisal Halim yang terpaksa menggunakan tongkat dan pendakap pada kaki kanannya ketika berada di Stadium Si Jalak Harupat, semalam, mencetuskan perhatian penyokong sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai keadaan tonggak Harimau Malaya itu.
Faisal yang sebelum ini mengalami kecederaan ketika membantu Malaysia menentang Indonesia kelihatan perlu mendapatkan bantuan tongkat untuk bergerak, manakala kaki kanannya turut dipasang pendakap ketika menyaksikan aksi Harimau Malaya berdepan Singapura.
Keadaan itu memberi gambaran jelas bahawa kecederaan dialami pemain sayap berkenaan bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan, malah pengendali sementara Harimau Malaya, Cheng Hoe mengakui pasukan turut merindui kehadiran Faisal di atas padang.
Malaysia bagaimanapun tetap menampilkan aksi bertenaga apabila membelasah Singapura 6-0 pada aksi terakhir Divisyen 1 Kumpulan A Piala ASEAN FIFA 2026 di Stadium Si Jalak Harupat, malam tadi.
“Kita pun rasa agak sedikit rindu jugalah Faisal punya kehadiran. Tetapi disebabkan tempoh hari dia dapat kecederaan, saya rasa dia terpaksa lupakan perlawanan akan datang nanti.
“Dan juga kita harap Faisal Halim akan pulih secepat yang mungkin untuk perlawanan-perlawanan yang akan datang nanti,” katanya.
Lebih membimbangkan, Cheng Hoe mendedahkan kecederaan Faisal membabitkan bahagian otot betis atau calf muscle serta tendon, dengan pemain itu berkemungkinan memerlukan tempoh yang agak panjang untuk kembali pulih.
“Kecederaan adalah di calf muscle dia, tendon. Dan kemungkinan mengambil masa yang agak panjang.
“Tetapi pasukan perubatan kami akan buat sedaya upaya untuk pulihkan Faisal Halim nanti,” katanya.
Faisal kini perlu memberi tumpuan kepada proses pemulihan, manakala pasukan perubatan Harimau Malaya akan melakukan sedaya upaya bagi membantu pemain itu kembali pulih secepat mungkin.
Malaysia seterusnya akan beraksi dalam penentuan tempat ketiga dan keempat menentang Vietnam pada 5 Oktober ini, manakala Indonesia selaku juara Kumpulan A akan membuat perhitungan dengan Thailand pada hari yang sama.