sukan

Faisal ketepikan Isu rumah tangga, kini fokus aksi berdepan Singapura

Kuala Lumpur — Di sebalik kemelut rumah tangga yang sedang melanda, bintang sayap negara Faisal Halim tetap menunjukkan komitmen luar biasa bersama skuad Harimau Malaya menjelang dua aksi persahabatan antarabangsa menentang Singapura dan Palestin. Pengendali pasukan, Peter Cklamovski, menyifatkan Faisal sebagai pemain bertaraf dunia yang kekal profesional dan fokus meskipun berdepan tekanan peribadi.

Faisal, atau lebih dikenali sebagai Mickey, dilaporkan hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Klang semalam bagi menghadiri sebutan kes perceraian yang difailkan oleh isterinya. Namun, menurut sumber yang boleh dipercayai, beliau telah memohon kebenaran daripada Cklamovski untuk menghadiri prosiding tersebut sebelum kembali menyertai latihan pasukan kebangsaan.

Dalam sidang media pra-perlawanan, Cklamovski memuji sikap Faisal yang kekal berdisiplin dan bersemangat tinggi sepanjang sesi latihan, meskipun isu peribadi sedang menghimpit.

“Dari sudut bola sepak, dia berada pada tahap bertaraf dunia. Dia berlatih keras, berdisiplin, menghadiri mesyuarat pasukan dan individu dengan penuh fokus. Pendekatan serta ‘mindset’ untuk sentiasa berada di tahap terbaik menjadi inspirasi buat semua,” kata jurulatih kelahiran Australia itu.

Beliau turut menegaskan bahawa isu rumah tangga Faisal adalah urusan peribadi yang tidak menjejaskan peranan beliau dalam pasukan. Malah, seluruh skuad Harimau Malaya berdiri teguh di belakang pemain kelahiran Pulau Pinang itu.

“Kami semua berada di belakangnya. Saya tahu Faisal adalah inspirasi buat negara, dan saya yakin dia akan terus begitu. Dari segi bola sepak, dia dalam kondisi terbaik, benar-benar bersedia untuk beraksi,” tambahnya.

Malaysia dijadual menentang Singapura malam esok di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebelum berdepan Palestin yang kini menghuni ranking ke-98 dunia di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, pada Isnin depan2. Kedua-dua perlawanan ini dianggap penting dalam usaha memperkukuh pasukan menjelang Kelayakan Piala Asia 2027, yang akan bersambung bulan depan dengan pertemuan menentang Laos pada 9 dan 14 Oktober.

Cklamovski melihat perlawanan menentang Singapura sebagai peluang untuk menguji intensiti serantau, manakala aksi menentang Palestin pula sebagai ujian taktikal yang lebih kompleks.

“Singapore brings regional intensity and familiarity, while Palestine offers a different tactical challenge and a top 100 FIFA-ranked opponent,” kata Rob Friend, CEO pasukan kebangsaan Malaysia.

Ditanya sama ada Faisal akan direhatkan untuk dua aksi tersebut, Cklamovski menjelaskan bahawa pemain Selangor FC itu telah menjalani latihan penuh dan berada dalam perancangan pasukan. Namun, keputusan akhir sama ada beliau akan diturunkan hanya akan diumumkan pada hari perlawanan.

“Dia sudah menjalani latihan penuh dan akan disenaraikan bagi aksi seterusnya,” kata Cklamovski ringkas.

Dengan skuad yang semakin mantap dan pemain seperti Faisal menunjukkan ketahanan mental yang tinggi, Harimau Malaya kini berada dalam fasa pembangunan yang menjanjikan. Dua aksi persahabatan ini bukan sekadar pemanas badan, tetapi medan penting untuk menilai keserasian taktikal dan kekuatan mental menjelang kempen kelayakan yang lebih besar.