sukan

Faisal teruja beraksi di Piala Sultan Selangor

KUALA LUMPUR: Peluang beraksi dalam kejohanan Piala Sultan Selangor (TSSC) 2024 pada 17 Ogos ini boleh dianggap antara kemuncak kerjaya sebagai pemain skuad Gergasi Merah.

Mula dipertandingkan sejak 23 tahun lalu, kejohanan itu membabitkan Pilihan Selangor serta Pilihan Singapura, namun ramai pemain muda ketika ini tidak pernah merasai kehangatan pertembungan dua seteru utama itu.

Situasi terbabit diakui tonggak Selangor FC, Faisal Halim yang beranggapan peluang beraksi dalam kejohanan itu ibarat bulan jatuh ke riba dalam usaha mendapatkan momentum selepas berhadapan insiden disimbah asid pada 5 Mei lalu.

Mengakui masih dalam tempoh pemulihan, pemain berusia 26 tahun itu hanya mendapat gambaran mengenai kejohanan terbabit daripada ‘orang lama’ dan rakan sepasukan lain, sekali gus menerbitkan rasa teruja untuk berada dalam skuad Pilihan Selangor.

“Bagi saya, ini kali pertama beraksi untuk Piala Sultan Selangor dan dapat gambaran kejohanan itu daripada rakan sepasukan dan pengurusan.

“Kejohanan ini memberi peluang dan ruang kepada saya untuk mendapatkan semula minit permainan, dapatkan apa yang sudah saya terlepas pada perlawanan akan datang,” kata pemain berasal dari Pulau Pinang itu.

Faisal yang juga tonggak Harimau Malaya berkata, beraksi di Stadium Merdeka yang juga venue memiliki 1,001 kenangan dan sejarah tanah air adalah kenangan terindah buat dirinya sebagai pemain profesional.

Sementara itu, ditanya mengenai projek pembangunan bersepadu Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) yang mula dibina awal bulan lalu, Faisal melihat ia mampu meningkatkan kualiti bola sepak Selangor FC menerusi pelbagai kemudahan disediakan kelak.

Malah, katanya pembangunan projek KSSA yang serba lengkap memang dinanti-nantikan pemain Selangor FC kerana memiliki aura yang meningkatkan lagi keyakinan mereka untuk beraksi.

“Saya cukup gembira dengan pembinaan KSSA ini, dan perkara paling penting berharap masih lagi bersama Selangor FC apabila venue itu siap nanti,” katanya.

Lain pula ceritanya buat kapten Selangor FC, Safuwan Baharudin yang berpengalaman beraksi dalam Piala Sultan Selangor pada 2012 bersama Pilihan Singapura.

Safuwan berkata, membarisi Pilihan Selangor bakal mengimbau kembali kenangan manis 12 tahun lalu terutama sorakan dan kemeriahan penyokong yang hadir menyaksikan kejohanan itu.

“Kali terakhir saya beraksi di kejohanan itu pada 2012 dan kemudiannya bersama Lions XII. Selepas itu, saya tidak berpeluang untuk beraksi lagi, sekali gus agak teruja untuk kejohanan kali ini.

“Sudah pasti perasaan bercampur baur kerana ramai bertanya saya wakil pasukan mana. Sudah tentu bersama Pilihan Selangor dan ia jarang berlaku,” kata pemain kelahiran Singapura itu.

Berhubung pembangunan KSSA, Safuwan menyambut baik projek berkenaan memandangkan Selangor bakal mempunyai kemudahan lengkap sekali gus membantu perkembangan pemain ke tahap optimum.

sumber:-BH

“Ini bukan hanya bola sepak semata-mata, namun juga memberi kesan kepada industri sukan di Selangor. Sudah tentu akan membuatkan semua pihak gembira dan berpuas hati apabila banyak kejohanan membabitkan sukan dapat dilaksanakan kelak,” katanya.