sukan

FAM ada kredibiliti, Hamidin dapat tambah nilai

SUBANG JAYA: Pelantikan Tan Sri Hamidin Mohd Amin sebagai Presiden Kehormat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dibuat bukan kerana barisan kepimpinan yang ada dalam badan induk itu ketika ini kurang kredibiliti.

Presiden FAM, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub menjelaskan keputusan melantik Hamidin ke jawatan itu adalah untuk memperkemaskan lagi pengurusan badan induk itu terutama dalam membuat keputusan pada masa akan datang.

Beliau berkata, Hamidin akan bertindak sebagai penasihat dan juga duta kepada FAM yang mana pengalaman luas yang dimilikinya dalam dunia bola sepak mampu membantu FAM bergerak ke tahap lebih baik.

Katanya, kehadiran Hamidin juga tidak akan menyebabkan berlaku pertindihan kuasa kerana Presiden FAM dan Presiden Kehormat memainkan peranan berbeza.

“Tidak sama sekali (lantik Hamidin bukan sebagai barisan kepimpinan ketika ini kurang kredibiliti). Semua memiliki kredibiliti masing-masing, cuma kita anggap jika Hamidin dilantik Presiden Kehormat, ia akan jadi satu nilai tambah kepada FAM.

“Bagi FAM, sama ada keputusan besar atau kecil, kami selalu berbincang antara jawatankuasa dan ia bukan keputusan seorang. Mungkin selepas ini dengan kehadiran Hamidin boleh tambah baik untuk kita buat keputusan yang lebih baik pada masa akan datang.

“Memang kita memerlukan Hamidin terutama dari segi hubungan beliau dengan FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa), AFC (Konfederasi Boalsepak Asia), Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF), badan kerajaan dan swasta,” katanya.

Joehari berkata demikian pada sidang media selepas Kongres Luar Biasa FAM Pertama 2025, di sini, hari ini, yang mana pada kongres berkenaan juga badan induk itu meluluskan pelantikan pengerusi, timbalan pengerusi dan ahli bagi tujuh Jawatankuasa Bebas FAM bagi Penggal 2025-2029.

sumber:- BH

Sebagai rekod, Kongres FAM pada 2014 menganugerahkan gelaran Presiden Kehormat FAM kepada Al-Marhum Sultan Ahmad Shah yang berkhidmat dengan penuh dedikasi sebagai Presiden FAM selama tiga dekad, dari tahun 1984 hingga 2014.