sukan

FAM dedah nama penaja yang tarik diri

KUALA LUMPUR: Sejauh mana isu pemalsuan dokumen membabitkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan negara akan memberi impak kepada penajaan untuk badan induk itu?

Persoalan itu timbul selepas desas-desus yang mendakwa Bank Islam bakal menarik diri sebagai penaja FAM selepas logo institusi perbankan itu dilihat sudah tidak lagi terpapar di laman sesawang rasmi badan induk berkenaan.

Ketika menjawab persoalan itu, Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi mengesahkan Bank Islam sudah menghubungi FAM namun mereka hanya mahu mendapat penjelasan lanjut mengenai situasi sebenar yang sedang dihadapi.

Katanya, FAM juga mengadakan beberapa siri perbincangan bersama pihak Bank Islam untuk memberikan penjelasan dan mereka akan menunggu keputusan muktamad daripada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) terlebih dahulu.

“Memang Bank Islam ada hubungi kita dan mahu tahu apa yang berlaku sebenarnya. Setakat ini, kita kekal seperti biasa dan tiada lagi keputusan muktamad.

“Buat masa ini, mereka tidak membuat sebarang keputusan drastik dan memilih untuk melihat bagaimana kes ini berakhir sebelum menentukan langkah seterusnya,” kata Yusoff.

Malah, Yusoff menjelaskan isu itu adalah satu perkara biasa memandangkan penaja berhak untuk mengetahui setiap perkembangan membabitkan pihak yang mendapat tajaan daripada mereka.

“Sebab itu saya tegaskan, kita perlu jalankan proses ini sampai berakhir. Selagi keputusan CAS belum diketahui, kita tidak boleh membuat sebarang kesimpulan awal.

“Semuanya lebih kepada faktor mahu tahu status dan mendapatkan kepastian. Secara rasmi, tidak ada sebarang keputusan untuk menarik diri,” katanya.