sukan

FAM digesa beri penjelasan sebenar maksud ‘sangat bahaya’

KUALA LUMPUR: Apa maksud ‘sangat bahaya’ yang dilontarkan bekas pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan Gon ketika diminta mengulas mengenai faktor peletakan jawatannya, semalam?

Pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli mengakui penggunaan perkataan ‘sangat bahaya’ itu memberi satu konotasi yang menggambarkan sesuatu boleh mengancam keselamatannya sehingga memaksa dia membuat keputusan drastik melepaskan jawatannya sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan.

Malah, Pekan melihat situasi itu menimbulkan rasa ingin tahu yang sangat besar khususnya dalam komuniti bola sepak tempatan sekali gus menggesa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) supaya dapat tampil memberi penjelasan sebenar di sebalik punca Pan Gon mengundurkan diri.

“Kita tak boleh jangkakan Pan Gon mungkin akan dedahkan rasa tidak puas hati itu apabila dia kembali ke Korea Selatan nanti. Saya pun rasa Pan Gon bukan orang sebegitu untuk menelanjangkan keburukan bola sepak kita

“Jadi presiden FAM (Datuk Hamidin Mohd Amin) kena ambil perkara ini sebagai satu yang serius dan perjelaskan apa sebenarnya yang berlaku, apa luahan hati Pan Gon kepada FAM selama ini. Ia perlu diperjelas dengan cara berhemah seperti menarik rambut di dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berselerak.

“FAM kena ‘come clean’ supaya tidak ada lagi persepsi negatif ataupun tohmahan liar daripada netizen. Semua orang ingin tahu apa sebenarnya yang dimaksudkan oleh Pan Gon itu.

“Cuma saya nampak mereka pun perlu berhati-hati kerana kalaulah perkara ini membuka aib yang sangat besar sehingga mengeruhkan suasana dan merosakkan persekitaran serta ekosistem, kita harus tanganinya dengan bijak.

“Melihat kepada perkara ini, pihak yang bertanggungjawab perlu ambil kesedaran dan perbetulkan kelemahan supaya kita dapat memperkemas semula organisasi kerana kita tahu perkara ini penting untuk negara kita,” kata Pekan.

Terdahulu, Pan Gon menegaskan dia tidak boleh berkongsi butiran lanjut mengenai punca dia mengambil keputusan drastik untuk meletakkan jawatannya apabila menyatakan perkara itu dianggap ‘bahaya’ dan ia hanya diketahui oleh Hamidin.

“Butiran lanjut mengenai keputusan ini tidak boleh saya kongsikan di sini. Sangat bahaya. Datuk Hamidin tahu semuanya tetapi tidak perlu tanya dia lagi.

sumber:-BH

Tak perlu tanya soalan itu di sini. Semua sudah selesai,” katanya pada sidang media khas, semalam.