Selepas lima hari, akhirnya Ultras Malaya mengeluarkan kenyataan menuntut penjelasan terperinci daripada pihak berwajib tentang permasalahan yang berlaku mengenai situasi bola sepak Malaysia ketika ini.
Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengenakan hukuman penggantungan 12 bulan kepada tujuh pemain Harimau Malaya termasuk denda kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Terdahulu, bintang warisan negara, Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano, telah dikenakan penggantungan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA (kerana pelanggaran Tatatertib FIFA2) berhubung isu dokumentasi.
Kumpulan penyokong tegar Malaysia itu menyenaraikan tiga perkara utama meminta FAM, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk menerangkan tentang proses kewarganegaraan tujuh pemain negara tersebut, sambil menjelaskan apakah kesilapan teknikal yang berlaku, sebelum ini.
1. Kami menuntut agar pihak KDN & JPN memberi penerangan adakah permohonan & proses kewarganegaraan 7 pemain yang terlibat diurus dengan baik & teliti. Kami menuntut penerangan dari pihak KDN & JPN bagaimana apa yang terkandung Perkara 19 Perlembagaan Malaysia bertentangan dengan kelulusan permohonan kerakyatan 7 pemain terbabit?
2. Kami juga menuntut pihak Football Association of Malaysia memberi penerangan apakah kesilapan teknikal yang telah dilakukan ketika penyerahan dokumen kepada pihak FIFA?
3. Kami juga menuntut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) atau Timbalan CEO Pasukan Kebangsaan segera mendedahkan susur galur pemain2 terbabit?
Meskipun kecewa dengan perkembangan terkini, Ekor Harimau Malaya itu tetap menyatakan sokongan penuh kepada badan induk negara untuk memulihkan semula imej bola sepak kebangsaan.