KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sudah mengemukakan rayuan kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung isu membabitkan dokumentasi tujuh pemain warisan Harimau Malaya.
Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi menjelaskan rayuan itu dikemukakan pasukan peguam sebelum tarikh akhir untuk melakukan proses itu yang berakhir pagi tadi waktu Malaysia.
Mohd Yusoff memaklumkan proses rayuan itu dikendalikan pasukan peguam luar negara yang dilantik dengan beliau percaya dokumen yang dikemukakan juga dibuat secara lebih kemas dan teliti.
“Apabila kami menghantar rayuan itu maknanya kami mengharapkan sesuatu keputusan yang positif dapat memihak kepada kami. Peguam yang dilantik itu adalah peguam dari luar negara.
“Malaysia NT (pasukan kebangsaan) adalah kumpulan profesional dan tentu sekali mereka ada hubungan dengan ramai peguam bertaraf antarabangsa yang faham mengenai bola sepak di peringkat antarabangsa.
“Malaysia NT mempunyai rangkaian dengan peguam yang lebih mahir atau lebih arif untuk membantu kami bagi proses rayuan itu. Malah, proses rayuan ini seperti pusingan kedua untuk kami dalam kes ini.
“Jadi saya fikir tentu sekali persiapan lebih kemas dan teliti dilakukan barisan peguam yang dilantik. Tidak timbul ia dibuat sambil lewa atau secara terdesak kerana kami mahu memastikan keputusan memihak kepada kami,” katanya.
Sebelum ini, FIFA mendedahkan butiran penuh berhubung keputusan menghukum FAM dan tujuh pemain warisan Harimau Malaya iaitu Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel selepas mendapati wujud ketidakselarasan dalam dokumen asal pendaftaran pemain.
Menurut laporan rasmi bertajuk “Notification of the Grounds of the Decision” bertarikh 6 Oktober 2025, Jawatankuasa Tatatertib FIFA menjelaskan bahawa hukuman itu dikenakan berdasarkan pelanggaran Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA yang membabitkan isu pemalsuan dan pengubahan dokumen rasmi.
Susulan itu, FIFA mengenakan denda CHF350,000 (RM1.8 juta) terhadap FAM, manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (RM10,000) dan digantung selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak.
FAM dalam kenyataan sebelum ini bagaimanapun memaklumkan bahawa pihaknya mengenal pasti wujud kesilapan teknikal dalam proses penyerahan dokumen pemain warisan yang dilakukan oleh kakitangan pentadbiran.