sukan

‘FAM jangan layan Piala AFF sebagai kelas kedua’

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak seharusnya ‘melayan’ Kejuaraan Piala AFF sebagai ‘kejohanan gred kedua’ dan perlu membentuk skuad yang benar-benar mantap untuk mengharungi saingan yang akan membuka tirainya, awal bulan depan.

Justeru, pemerhati bola sepak tempatan, Zakaria Rahim mengharapkan badan induk itu tidak mengikut ‘rentak’ Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) yang membariskan ramai pemain Bawah 22 tahun (B-22) yang tidak memiliki kap antarabangsa sebelum ini.

Tegasnya, FAM perlu berusaha sebaik mungkin untuk memastikan skuad Harimau Malaya dapat dibarisi pemain yang terbaik meskipun beliau mengakui akan timbul kekangan untuk merealisasikan hasrat terbabit memandangkan Piala AFF berlangsung di luar kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

“Saya tengok senarai pemain skuad Indonesia, mereka hanya turunkan seorang sahaja pemain senior manakala yang lain majoritinya adalah pemain B-22. Jadi kita boleh anggap mereka tidak turunkan skuad terbaik mereka sebab mereka banyak bertanding di peringkat Asia.

“Sudah tentu ini akan memberi impak kepada pasukan lain yang jadi pencabar seperti kita, Thailand dan Vietnam. Kalau semua pasukan pun ambil keputusan sama, hilanglah seri Piala AFF kerana kita sudah ada Sukan SEA untuk pemain muda.

“Saya tak terkejut kalau ada pasukan tidak lepaskan pemain tetapi kita perlu bariskan pemain terbaik yang kita ada untuk Piala AFF ini. Kita mahukan kejuaraan Piala AFF ini untuk naikkan semangat pemain, jurulatih dan juga penyokong.

“Dengan kemampuan yang kita ada, saya yakin Malaysia dan Thailand akan ke separuh akhir. Cuma kita tidak mahulah kalau tersekat lagi di separuh akhir seperti edisi lalu,” katanya.

Dalam masa sama, Zakaria yang juga bekas pengurus Selangor turut melihat saingan di Piala AFF mampu menjadi medan terbaik untuk persiapan menjelang Kelayakan Piala Asia 2027 yang akan bermula, Mac tahun depan.

“Piala AFF ini sangat penting untuk menilai kemampuan kita sebelum mengharungi pusingan Kelayakan Piala Asia tahun depan. Kalau kita tidak dapat skuad terbaik, barisan kejurulatihan perlu bersedia untuk memanggil pemain yang benar-benar bersedia untuk tugasan antarabangsa.

“Kita ada pemain Bawah 23 tahun (B-23) yang boleh diketengahkan dan kita tidak perlu untuk terlampau bergantung kepada pemain warisan. Pemain warisan yang kita ada pun, kita lihat tahapnya sudah sama dengan pemain tempatan.

sumber:- BH

“Ini bukan sahaja tempat untuk pemain muda dapat pengalaman tetapi juga memberikan peluang kepada pemain tempatan untuk buktikan kemampuan mereka. Pau Marti Vicente perlu cipta pemain seperti mana dia sudah cipta pemain seperti Nooa Laine dan Harith Haiqal,” katanya.